Tiada Zumba, Hanya Senamrobik Bersyarat Dibenar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa aktiviti zumba di negeri ini tidak dibenarkan sejak beberapa tahun lalu, sebaliknya hanya acara senamrobik dengan beberapa syarat ketat diberi kebenaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bagi aktiviti senamrobik pihaknya telah memberi penerangan kepada penganjur mengenai garis panduan yang perlu dipatuhi ketika acara itu dilaksanakan supaya ia menepati syariat.

“Pada tahun 2019, syarat dan garis panduan telah diterangkan kepada beberapa persatuan kecergasan berkaitan cara pengendalian program yang berlandaskan agama.

“Alhamdulillah sambutan pihak penganjur amat positif dan dipatuhi, namun begitu, baru-baru ini kita menerima teguran Daie Ummah, Ustaz Azhar Idrus (yang dimaksudkan di Taman Rekreasi Hiliran, Bukit Besar), kita terima pandangan ini secara terbuka.

“Hasilnya, saya bersama timbalan, Hishamuddin Abdul Karim sekali lagi berbincang bersama persatuan dan jurulatih terlibat bagi penerangan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Urus setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.

Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri sentiasa menyokong aktiviti kecergasan dalam melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.

“Dalam masa sama kita beraktiviti sebagai sebuah negeri menjadikan Islam sebagai dasar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan syarat-syarat senamrobik yang ditetapkan kerajaan negeri sebelum ini antaranya instruktor lelaki sahaja dibenarkan di tempat terbuka manakala instruktor perempuan dibenarkan untuk peserta perempuan sahaja.

“Penganjuran untuk kaum wanita akan dipindahkan ke kawasan atau dewan-dewan yang sesuai dengan aktivtiti secara tertutup. Bagi tempat awam pula, pihak kami akan mengemukakan cadangan kepada pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merangka cadangan ruang khas yang lebih mesra pengguna wanita di taman-taman rekreasi awam.

“Konsep reka bentuk itu akan dinilai bersama terlebih dahulu bagi memastikan agar konsep Right Things Right Every Time (betul dan tepat setiap kali) bagi mengelakkan pembaziran dan kegagalan.

“Selain itu, kaum wanita perlu berpakaian longgar dan hanya aktiviti senam robik, senaman regangan biasa dan tai chi sahaja dibenarkan di tempat awam dan tidak dibenarkan aktiviti zumba di tempat awam. Pemilihan muzik juga perlu sesuai dan aksi tidak keterlaluan,” katanya lagi.

Ujar Wan Sukairi, penganjur aktiviti sukan tersebut bersama Urus setia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) telah bercadang untuk menjadikan dewan di Kompleks Seri Iman sebagai lokasi utama aktiviti itu bagi kaum wanita.

Untuk rekod, aktiviti senam robik tersebut telah bermula semenjak tahun 1991, dianjurkan oleh Kelab Sukan Kecergasan Warisan dan telah berlangsung semenjak 28 tahun yang lalu.

Sumber: TRDI News