
Melaka: Tiga mata daripada tiga perlawanan dianggap permulaan positif buat Melaka FC (MFC) untuk mengharungi saingan Liga Super dalam penampilan sulung di pentas liga berprestij terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFC, Muhammad Najmi Mohd Nordin debaran kencang dirasai pegawai, pengurusan pasukan dan pemain bagi memulakan saingan kerana rata-rata barisan kali ini tidak memiliki pengalaman pada aksi Liga Super.
Katanya, kebanyakan pemain tempatan kelab itu hanya beraksi di Liga A1 Semi Pro sebelum ini malah semua import juga belum pernah menikmati aksi sebenar Liga Super dan Piala FA di negara ini.
Menurutnya, tiga mata hasil pertemuan berdepan pasukan seperti Sabah, Penang FC dan PDRM tetap dilihat perkembangan memberangsangkan biarpun belum meraih sebarang kemenangan setakat ini.
“Walaupun nampak macam ‘cukup-cukup makan’ tapi sebenarnya itu tanda konsistensi dan mentaliti skuad yang kuat sebab awal liga biasanya pasukan masih mencari rentak selain bukan mudah untuk menjangka kekuatan lawan.
“Diakui bukan mudah untuk kumpul tiga mata daripada tiga perlawanan tetapi yang penting pemain menunjukkan disiplin dan semangat juang tinggi. Apapun kami masih ada ruang untuk memperbaiki corak persembahan terutama di posisi serangan dalam merealisasi penyudah yang tajam,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN





