Tiga PPS Dibuka di Kedah, Negeri Sembilan Tempatkan 138 Mangsa Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua negeri dibuka menempatkan 138 mangsa banjir daripada 48 keluarga setakat pagi tadi.

Di negeri kedah pula, seramai 28 mangsa banjir daripada enam keluarga di Baling ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Kapt (PA) Rasidah Kassim berkata, kesemua mereka adalah penduduk kampung dari Mukim Tawar.

Beliau berkata, pihak APM Baling akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa serta sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

Manakala, di Negeri Sembilan pula menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan dua PPS dibuka iaitu di SK Undang Johol dan Dewan Desa Dangi, Johol, Kuala Pilah melibatkan 110 individu yang melibatkan 42 keluarga.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata, ia berlaku ketika kejadian tanah runtuh di N14 Jalan Inas – Kampung Batu berikutan hujan lebat di kawasan berbukit di lokasi tersebut yang menghalang sepenuhnya lalu lintas.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Laluan FT051 Jalan Kuala Pilah – Seremban atau Laluan FT009 Kuala Pilah – Tampin,” ujarnya.

Seterusnya, beliau berkata Pusat Darul Widad di Port Dickson turut dinaiki air namun tiada pemindahan dibuat setakat ini.

Hujan lebat yang semakin berterusan sejak tengah hari semalam menyebabkan beberaoa lokasi di tiga negeri dinaiki air iaitu Kuala Kubu Bharu, Selangor, Nilai, Seremban dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah.

Sumber: BERNAMA