Tingkat SOP Terima Kemasukan Pelancong Ke Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Penggiat pelbagai sektor termasuklah sektor pelancongan di negeri ini diminta supaya dapat meningkatkan pengawalan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) di premis masing-masing sebagai persediaan untuk menerima kemasukan ramai pelancong dari luar negeri Pahang.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ini berikutan kebenaran merentas negeri yang telah dibenarkan oleh pihak kerajaan bermula 11 Oktober 2021 lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus.

“Rentas negeri telah dibenarkan bermula 11 Oktober dan Pahang juga telah masuk ke fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 Oktober, dan bila kita dah masuk fasa keempat, banyak sektor ekonomi akan dibuka, dan bila berlaku rentas negeri kita akan dapati kemasukan ramai orang ke Pahang.

“Saya yakin di Pahang banyak sangat tempat-tempat pelancongan jadi semua akan datang ke Pahang, jadi nasihat kita kepada semua rakyat bahawa kita perlu kepada pematuhan SOP secara kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Mesra Komuniti Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan bersama Pengarah Kesihatan Negeri Pahang di Surau Al-Hidayah, Jalan Wong Ah Jang, Kuantan.

Beliau menasihati orang ramai supaya mengasingkan diri masing-masing sekiranya bergejala dan elakkan daripada percampuran dalam komuniti bagi mengelak jangkitan kepada orang ramai.

Penjagaan SOP kendiri ini adalah perlu bagi memastikan sektor ekonomi dapat berjalan seperti biasa meskipun di dalam norma yang baharu.

Sumber: PAHANGMEDIA