SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

USM agih 1,000 pek juadah berbuka setiap hari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sukarelawan Ihya’ Ramadan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang bergotong royong menyediakan juadah berbuka puasa. – Foto ihsan USM

KOTA BHARU: Sukarelawan Ihya’ Ramadan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan 800 hingga 1,000 pek juadah berbuka puasa setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Pemangku Timbalan Pengarah (Pentadbiran) Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Amira Abd Sattar @ Ismail, berkata juadah itu diagihkan kepada petugas barisan hadapan Hospital USM, peneman pesakit, pelajar yang menginap di asrama serta kariah masjid.

Katanya, juadah mula diagihkan jam 3.30 petang setiap hari ke lokasi seperti dalam wad, dewan bedah, pos keselamatan dan juga asrama.

“Kebiasaannya tugas memasak bermula jam 8.30 pagi diikuti aktiviti membungkus dan semua tugas ini dilakukan secara gotong royong oleh sukarelawan pusat tanggungjawab (PTJ), ahli Kelab Jasa Budi yang terdiri daripada pesara-pesara USM, ahli-ahli persatuan dalaman USM serta pelajar.

“Gotong-royong memasak juadah ini adalah aktiviti tahunan Pusat Islam Kampus Kesihatan sejak 2000 yang diharap dapat meringankan beban pelajar yang berhadapan kesukaran untuk keluar membeli juadah berbuka puasa terutamanya dalam keadaan sekarang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan,” katanya.

Sukarelawan Ihya’ Ramadan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang bergotong royong menyediakan juadah berbuka puasa. – Foto ihsan USM

Katanya, bagi menyediakan juadah berbuka ini, mereka membelanjakan kira-kira RM4,000 setiap hari untuk membeli bahan mentah dan barang keperluan dengan menu berlainan.

“Perbelanjaan hasil derma warga Kampus Kesihatan USM.

“Pada masa sama, Pusat Islam Kampus Kesihatan mengalu-alukan warga kampus dan masyarakat setempat yang ingin menyalurkan sumbangan,” katanya.

Amira berkata, bagi menjaga alam sekitar, mereka menjual semula minyak masak yang sudah digunakan dan semua sisa makanan akan diasingkan untuk dijadikan baja kompos.

SUMBER: Berita Harian