SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Video pukul warga asing tular, lelaki tempatan dicari polis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kajang: Polis giat mengesan sekumpulan individu yang memukul seorang lelaki warga asing selepas satu rakaman video berkaitan kejadian itu tular di media sosial, malam tadi.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan kaki lima sebuah premis kedai di No 28, Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan dimulakan sebaik rakaman video yang tular itu sampai ke pengetahuan pasukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

“Siasatan awal dijalankan selepas dipercayai tempat kejadian itu berlaku di bawah kawasan pentadbiran IPD Kajang.

“Hasil siasatan awal, seorang lelaki dipercayai warga asing dipukul sekumpulan lelaki Melayu dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, perlakuan suspek adalah satu tindakan yang mengganggu gugat serta mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam berikutan kejadian itu berlaku di kawasan awam yang terbuka.

“Hasil penelitian ke atas video ini juga mendapati, kumpulan suspek itu juga melanggar beberapa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Sehubungan itu, pihak IPD Kajang membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (merusuh) dan jikadisabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan / 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana Balai Polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-665 5811.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan sekumpulan lima hingga enam lelaki mengepung dan menyoal seorang lelaki dipercayai warga asing di hadapan sebuah premis kedai.

Menerusi video berdurasi seminit 54 saat itu, seorang suspek memukul lelaki warga asing berkenaan diikuti beberapa rakan suspek melakukan tindakan sama.

Beberapa hantaran di Facebook (FB) mendakwa kejadian itu didalangi kumpulan suspek terdiri daripada pengerusi dan pengikut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang marah kepada suspek kerana didakwa menjual baju cetak rompak NGO terbabit.

Sumber: My Metro