Wanita Hilang Seminggu Ditemukan Letih Dan Lesu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Wanita yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemui di Lubok Jong, Pasir Mas kira-kira jam 10 malam tadi dalam keadaan letih dan lesu.

Menurut suaminya, Lokman Hakim Azizi, 26, isterinya, Noor Amira Mohamed, 24, dilaporkan hilang pada 12 Januari lalu yang ketika itu pulang ke kampungnya di Rantau Panjang untuk menjaga ibu yang sakit akibat terjatuh tangga.

Lokman berkata, memandangkan dia bekerja di Pahang dan tidak sempat menghantar isterinya balik ke kampung, dia menghantarnya ke Stesen Kereta Api Kuala Lipis.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi pada keesokan harinya, saya terputus hubungan dengan isteri apabila panggilan telefon tidak dijawab selain pesanan ringkas melalui WhatsApp juga tidak berbalas.

“Pada ketika itu, isteri saya sepatutnya sudah sampai ke Stesen Kereta Api Pasir Mas dan berada di rumahnya, namun dia tidak sampai di rumah sebagaimana yang sepatutnya dan selepas 24 jam dilaporkan hilang dan tidak dijumpai, ibu mentua terus membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Lokman Hakim berkata, dia difahamkan, sebaik isterinya itu tiba di Stesen Kereta Api Mas, ada individu yang melihat isterinya duduk termenung di bangku dan dipercayai disapa oleh seorang pemandu kereta sewa yang kemudian membawa isterinya pergi.

“Bimbang dengan keselamatan isteri, saya berkongsi berita kehilangannya di laman sosial dengan harapan dia ditemui segera dan pada keesokan harinya iaitu pada 13 Januari, saya pulang ke Kelantan untuk mencari isteri di setiap daerah sehingga ke Terengganu.

“Bagaimanapun, pencarian isteri berakhir apabila saya dihubungi polis yang memberitahu isteri saya sudah ditemui malam tadi. Saya bersyukur kerana dia ditemui dalam keadaan selamat walaupun masih dalam ketakutan.

“Buat masa ini, isteri saya masih penat dan mahu dia berada dalam keadaan tenang sebelum menunggu masa yang sesuai untuk bercerita kepada saya apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.

Sumber: My Metro