Wanita Maut, Motosikal Rempuh Kerbau

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor kerbau di Jalan Kampung Alor Parit di sini awal pagi Ahad.

Mangsa, Siti Nur Zainatul Akmal Hanim Muhammad Hanipah, 20, dari Bukit Payong di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 3.10 pagi ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda Beat dari arah bandar Kuala Terengganu menuju ke rumahnya di Kampung Undang.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa telah melanggar seekor binatang yang dipercayai kerbau yang berada di tengah jalan sebelum dia terjatuh.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurutnya, motosikal tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan sementara keadaan jalan ketika kejadian merupakan satu lorong dua hala tanpa lampu jalan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : SINAR HARIAN