
LONDON : Ollie Watkins mengakui dia berharap ahli keluarganya yang menyokong Arsenal menyaksikan sendiri dia menewaskan The Gunners pada hari lahirnya yang ke-30, awal pagi Rabu ini.
Watkins tampil dari bangku simpanan untuk mengekalkan momentum Aston Villa dalam saingan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjaringkan dua gol ketika menang 2-1 ke atas Chelsea, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Unai Emery kini hanya tiga mata di belakang Arsenal dan satu mata di belakang Manchester City dalam perebutan gelaran tiga penjuru yang sengit.
Watkins mendedahkan ramai ahli keluarganya akan berada di Emirates, tetapi dia berharap tidak semua pulang gembira dengan keputusan perlawanan itu.
“Saya ada ramai ahli keluarga datang yang menyokong mereka (Arsenal),” katanya kepada Sky Sports.
“Jadi mereka boleh berada di penjuru lain stadium dan semoga menyaksikan saya hasilkan keputusan sama seperti malam ini dalam beberapa hari lagi.”
Walaupun Villa kini cemerlang, Watkins mengharungi musim yang mengecewakan sebelum menjaringkan dua gol di Stamford Bridge.
Dia hanya menjaringkan tiga gol sebelum ini, manakala Emery mendedahkan penyerang England itu berdepan masalah lutut lebih setahun.
Namun Watkins berharap dapat menamatkan musim dengan cemerlang dan meletakkan dirinya dalam senarai England bagi Piala Dunia tahun depan.
“Jelas bukan prestasi di tahap yang saya mahukan,” tegasnya.
“Sebagai penyerang, anda mahu menjaringkan gol setiap perlawanan. Jika tidak, anda mahu bermain baik dan membantu pasukan.
“Saya rasa ada beberapa aksi baik tahun ini, tetapi mungkin belum pada standard yang saya tetapkan untuk diri sendiri dan saya beri tekanan kepada diri sendiri.
“Saya belum berada di tahap yang diingini, tetapi ini boleh jadi penanda aras dan saya akan terus maju dari sini.” – AFP
Sumber : BERITA HARIAN




