Zizan Razak jadi buruan di Indonesia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pelakon dan pelawak Zizan Razak menjadi buruan syarikat produksi di Indonesia sejak dia menerima tawaran berlakon daripada aktor terkenal negara itu, Raffi Ahmad.

Zizan atau Razizan Abdul Razak, 34, berkata, ketika dia menjalani filem yang juga terbitan syarikat produksi milik Raffi di Indonesia bulan lalu dia menerima beberapa tawaran lain dan menyifatkan perkara itu sebagai mimpi.

“Dapat tawaran daripada seorang bintang terkenal seperti Raffi Ahmad pun sudah cukup mengujakan dan tidak pernah terlintas pula akan dapat peluang lain.

“Alhamdulillah ada beberapa projek ditawarkan kepada saya termasuk daripada Raffi sendiri yang ingin saya muncul dalam filem seterusnya selepas ini,” katanya.

Zizan ditemui selepas memenangi trofi Artis Lawak MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.

Dalam pada itu, bercakap mengenai penglibatannya menerusi filem terbitan syarikat Raffi, Zizan berkata, pada awalnya dia terkejut apabila aktor itu menghantar mesej peribadi (DM) kepadanya di Instagram untuk menawarkan berlakon.

Kata Zizan, selepas mereka berbalas mesej dan berbual menerusi telefon, dia terbang ke Jakarta bagi membincangkan mengenai tawaran tersebut sebelum memasuki set penggambaran pada bulan lalu.

“Mulanya saya terkejut juga sebab Raffi yang mempunyai nama besar DM saya dan memperkenalkan dirinya walaupun saya ‘follow’ akaun Instagramnya.

“Selepas perbincangan dibuat saya bersetuju memegang watak utama dalam filem itu dan sudah pun selesai menjalani penggambaran pada bulan lalu.

Filem yang masih belum mempunyai judul itu turut menggandingkan Zizan dengan Rafi selain Cut Meyriska dan Marsha Aruan.

Sementara itu, Zizan berkata, dia tertarik untuk menerima tawaran Raffi itu kerana konsep dan jalan ceritanya yang menarik selain melihat ini adalah peluang untuk melebarkan sayap di negara seberang.

“Memang menjadi impian saya untuk mengembangkan karier lakonan di Indonesia dan Alhamdulillah Raffi membuka jalan untuk saya dan tidak sangka ada beberapa tawaran lain pula.

“Mungkin penonton di Indonesia tidak mengenali saya tetapi ini mungkin dapat menjadi jambatan bagi saya memperkenalkan diri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizan mengesahkan bakal kembali bergabung dengan rakan baiknya, Johan sebagai Jozan dalam sebuah program yang disifatkan sebagai besar tidak lama lagi.Zizan berkata, dia yakin program itu nanti dapat kembali melonjakkan nama Jozan selepas beberapa tahun mereka tidak bersama sebagai pasangan duo.

“Insya-Allah, kami akan kembali bergabung untuk sebuah program yang sangat besar di Astro dan ia dapat melonjakkan kembali nama Jozan.

“Peminat pun sering bertanya bila hendak kembali bersatu dan nampaknya dengan kemunculan program itu nanti akan merialisasikan impian tersebut,” katanya.

Sumber: Mstar