10 Pelajar Terpilih Terima Tajaan Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2023

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Yayasan Terengganu menandatangani  satu perjanjian bersama YT – TI Young Talent Scholarship Programme 2023 bersama Terengganu Inc yang bertujuan membuka peluang kepada para pelajar Negeri Terengganu yang meraih keputusan cemerlang untuk terus mendapatkan pendidikan terbaik.

Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun berkata, tahun ini merupakan tahun kedua kumpulan Terengganu Inc menyediakan RM 500,000 untuk menaja 10 orang pelajar yang terpilih.

Tambahnya lagi, untuk penganjuran program begini berterusan, setakat ini beliau memilih berkolaborasi bersama syarikat dibawah kumpulan sama iaitu kumpulan Terengganu Inc, kerana masih banyak syarikat di dalamnya. Walaubagaimanapun, beliau tidak menolak untuk bekerjasama dengan agensi lain yang membayar zakat di negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian YT – TI Young Talent Scholarship Programme 2023 antara Kumpulan Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Wisma Darul Iman.

Terengganu Incorporated (TI) Sdn. Bhd diikuti kumpulan dibawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd, Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyumbang sebanyak RM500,000 jumlah keseluruhan melalui Tabung Biasiswa GLC yang telah ditubuhkan Yayasan Terengganu pada tahun 2022.

“Sekiranya ada ruang dan peluang bekerjasama dengan syarikat luar, kita jadikan seperti Tunas Scholar. Sekarang ini 1.3 juta, kita usaha dapatkan sekurang-kurangnya ‘double amount’ daripada jumlah yang kita sediakan pada tahun ini.”

Dalam majlis yang turut dihadiri oleh YB. Dato’ Haji Satiful Bahari bin Mamat iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, 10 pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa YT-TI ambilan kedua tahun 2023 I  bakal memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun serta menerima peranti ipad atau komputer riba bagi kegunaan pembelajaran.

Pemeteraian Perjanjian antara Yayasan Terengganu bersama kumpulan Terengganu Inc merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua entiti dalam usaha menawarkan lebih banyak tawaran biasiswa untuk dimanfaatkan demi pembangunan modal insan minda kelas pertama berserta jaminan peluang pekerjaan bersama kumpulan TI.

Salah seorang penerima biasiswa, Hanun Mahirah binti Abdul Hanan yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Perniagaan (Kewangan), dia gembira dan bersyukur kerana menerima biasiswa ini setelah gagal dalam temuduga lain meski dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 5A+ 4A.

– UNIT BERITA MANIS FM