19 Motosikal Pelajar Sekolah Disita

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Sebanyak 19 buah motosikal pelajar sekolah disita atas pelbagai kesalahan mengubah suai dalam Op Motosikal di Kampung Wakaf di sini pada Jumaat.

Dalam operasi yang bermula jam 6 petang itu, kesemua motosikal terbabit dinaiki oleh remaja berusia 15 hingga 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai di kawasan berkenaan.

“Kesemua motosikal itu telah disita bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Hasil pemeriksaan air kencing juga mendapati kesemua pelajar berkenaan bebas penggunaan bahan terlarang,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut beliau, Op Motosikal itu tidak melibatkan sebarang tangkapan.

Ujarnya, sebanyak 122 saman turut dikeluarkan sepanjang operasi atas pelbagai kesalahan.

Zaizul Rizal menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya lebih cakna dengan aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

“Ia bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti samseng jalanan hingga mengganggu ketenteraman awam dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

– SINAR HARIAN