240 pemain buru Piala Rexcoco Edisi Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA: Seramai 240 pemain bawah usia 12 tahun akan berentap memburu kejuaraan Kejohanan Bola Sepak bawah 12 tahun Piala Rexcoco Edisi Terengganu yang berlangsung pada 16 dan 17 Februari ini di Padang Astaka Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Pengurus kejohanan, Mohd. Yusran Mat Sharif berkata, penyertaan kejohanan tersebut adalah percuma dan terhad kepada hanya 16 pasukan dengan dibahagikan kepada semua daerah di Terengganu.

Katanya, pertandingan itu adalah terbuka kepada pemain dan pelatih yang tidak terpilih ke Akademi Tunas di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Semua pasukan telah mengesahkan penyertaan dan pengundian kumpulan telah diadakan semalam. Kejohanan diadakan di daerah Hulu Terengganu yang mana fokus kita adalah untuk memberi satu fenomena baharu di daerah berkenaan yang belum pernah diadakan kejohanan sedemikian,” katanya.

Menurut Mohd. Yusran, secara keseluruhan kejohanan itu melibatkan negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Katanya, empat pasukan terbaik akan mewakili setiap negeri di pusingan akhir yang dijangka berlangsung di Kuala Terengganu pada bulan depan.

“Empat pasukan terbaik setiap negeri akan bermain dalam Grand Final Kejohanan Rexcoco Pantai Timur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempelawa orang ramai khususnya peminat bola sepak untuk hadir beramai-ramai memberi sokongan dan memeriahkan lagi kejohanan di peringkat akar umbi itu. – UTUSAN