284 Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba Di Madinah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MADINAH – Seramai 284 jemaah haji yang menaiki kumpulan penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, di sini, hari ini.

Mereka yang terdiri daripada 131 jemaah lelaki dan 153 perempuan itu selamat tiba pada jam 7 pagi sebelum dibawa ke zon penginapan mereka di Hotel Saja Al-Madinah.

Ketibaan mereka di hotel itu disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Yang turut hadir meraikan Dhuyufurrahman berkenaan ialah pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) meliputi Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah; Konsul Haji, Mohammed Heikal Mohammed Yusoff; dan Pengarah Operasi Madinah bagi Musim Haji 1444H/2023M, Ashrof Shamsuddin, bersama petugas haji bagi musim 1444H/2023M.

Selain KT1, tiga lagi penerbangan dari Malaysia dijadualkan tiba di Madinah, hari ini, membabitkan keseluruhan kira-kira 1,100 jemaah haji.

Mereka adalah kumpulan KT awal daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji kuota penuh Malaysia, tahun ini, yang bakal tiba di Tanah Suci secara berperingkat melalui 102 penerbangan dari tanah air, dengan yang terakhir dijadualkan pada 21 Jun depan.

Di Madinah, jemaah haji Malaysia akan ditempatkan di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Saja Al-Madinah serta Hotel Emaar Royal.

Sepanjang tempoh enam hari berada di Madinah sebelum bertolak ke Makkah, mereka akan mengikuti program serta aktiviti telah diatur TH, antara lain taklimat, ziarah ke Masjid Nabawi, makam Rasulullah SAW dan tempat bersejarah di sekitar bandar Al-Munawwarah ini.

– BERITA HARIAN