3 Syarikat Peralatan Elektrik Rugi Hampir RM100,000 Ditipu ‘Izzuddin’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Tiga pemilik syarikat peralatan elektrik kerugian RM96,136 selepas menjadi mangsa penipuan individu menyamar pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 30 hingga 60 tahun dihubungi seorang lelaki bernama Izzuddin yang memaklumkan berminat membeli alat jana kuasa mudah alih untuk kegunaan pejabat.

Beliau berkata, kesemua mangsa memaklumkan tidak mempunyai bekalan produk berkenaan sebelum suspek mencadangkan nama pembekal yang boleh menyediakan barangan bagi pihak syarikat mangsa.

“Mangsa yang terperdaya bertindak menghubungi pembekal tersebut untuk membuat tempahan serta bayaran ke nombor akaun yang diberikan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Mazli, suspek kemudiannya menghubungi mangsa dan memaklumkan bahawa peralatan sudah dihantar ke Pejabat Pendidikan Kuala Nerus.

Bagaimanapun, mangsa mula curiga kerana tidak dihubungi dan menerima sebarang bayaran kemudiannya menghubungi Pejabat Pendidikan Kuala Nerus.

“Semakan mendapati tiada kakitangan atau pegawai bernama Izzuddin di situ malah tender berkaitan alat janakuasa juga tidak wujud”, katanya.

Sehubungan itu, mazli mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya menerima tawaran dan membuat semakan dengan mana-mana pihak berkaitan sebelum melakukan pembayaran, serta segera membuat laporan polis sekiranya ditipu oleh mana-mana pihak.

Mazli berkata sebanyak 108 laporan polis berkaitan penipuan dibuat dalam seminggu bermula 24 Mac lepas melibatkan kerugian berjumlah RM440,024.60.

– Bernama