3,394 Nelayan Darat Tersenyum Terima RM200 Mulai Hari Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seramai 3,394 nelayan darat di seluruh negara menerima RM200 seorang hasil agihan Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023 yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM678,800.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata agihan itu membabitkan nelayan darat yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan sungai termasuk tasik, bekas lombong, empangan dan lain-lain perairan umum di seluruh negara.

“Saya berharap Bantuan Khas Aidilfitri 2023 diberikan kerajaan ini dapat meringankan beban nelayan darat yang pendapatan mereka tidak menentu setiap hari.

“Satu Syawal tahun ini diharap lebih ceria buat nelayan darat. Bantuan ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan terbabit yang turut menjadi penyumbang dalam sektor perikanan negara,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan agihan, Sarawak mencatat jumlah teramai nelayan darat membabitkan seramai 911 individu yang akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri 2023 membabitkan peruntukan RM182,200.

Ini diikuti Sabah dengan 811 nelayan darat (RM162,200), Perak (492 nelayan, RM98,400), Pahang (379 nelayan, RM75,800), Kelantan (233 nelayan, RM46,600) dan Terengganu (137 nelayan, RM27,400).

Sementara itu, Syed Jafri Sy Mohd, 52, dari Kampung Pulau Manis di Pekan berkata, bantuan disediakan kerajaan dapat digunakan untuk membeli keperluan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Pendapatan nelayan darat tidak menentu setiap hari, bergantung kepada rezeki. Jadi, bantuan disediakan kerajaan ini amat bererti buat kami.

“Sungai Pahang menjadi lokasi tempat saya mencari rezeki, kini kerajaan menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu nelayan darat.

“Selain bot gentian kaca turut disediakan jaring dan pelbagai peralatan menangkap ikan,” katanya.

Rakannya, Syed Mohd Yusairy Saiyed Ibrahim, 41, berkata nasib nelayan darat lebih terbela dengan pelbagai bantuan diagihkan untuk mereka.

“Saya bersyukur apabila kerajaan tidak melupakan golongan nelayan darat yang sebelum ini sering dilupakan,” katanya sambil berharap lebih banyak bantuan untuk nelayan darat disediakan kerajaan selepas ini.

– BERITA HARIAN