34 Peniaga Bazar Ramadan Terima Notis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 34 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri ini kerana kesalahan tidak memakai topi, apron dan kasut ketika mengendalikan makanan.

Notis kompaun dengan nilai keseluruhan RM3,500 itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 892 gerai dan 1,784 pengendali makanan di 75 bazar Ramadan seluruh negeri pada minggu pertama Ramadan.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, antara kesalahan yang dikesan membabitkan 24 kes mengikut Peraturan 32 Akta Makanan 1983 dan lima kesalahan mengikut Peraturan 33 akta sama iaitu pengendali makanan gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan.

Menurutnya, 30 sampel makanan diambil bagi analisis mikrobiologi dan keputusan masih belum diperolehi.

“Sampel makanan akan diambil sekiranya mendapati makanan dijual peniaga berisiko atau disyaki tercemar, bagaimanapun, setakat ini kita belum menemui kes keracunan makanan berpunca dari bazar Ramadan,” katanya, ketika dihubungi di sini, semalam.

“Selain bazar Ramadan, pemeriksaan turut dilakukan ke atas premis makanan lain termasuk gerai penjaja di tepi jalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan kod QR diperluaskan di seluruh lokaliti bazar Ramadan di negeri ini bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan di negeri ini.

Beliau menambah, berikutan permintaan ais yang bertambah sepanjang Ramadan, pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas 17 kilang ais di negeri ini dan 13 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai keseluruhan RM8,650.

Katanya, antara kesalahan dikesan ialah pemilik gagal mengadakan dan menyediakan program jaminan keselamatan makanan dan tidak mengadakan sistem kebolehkesanan makanan selain pengendali tidak mengenakan apron semasa mengendalikan ais.

Sumber: METRO HARIAN