366 Penyu Agar Mendarat di Cherating Tahun Lalu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, dekat sini, mencatat pendaratan 366 penyu jenis agar yang menghasilkan sebanyak 29,900 telur, sepanjang tahun lalu.

Sebanyak 20,300 telah berjaya ditetaskan kemudian dilepaskan ke perairan negeri ini secara berperingkat menerusi beberapa program yang diadakan.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata dalam tempoh empat bulan tahun ini sebanyak 88 pendaratan penyu jenis agar telah dicatat yang menghasilkan kira-kira 7,750 telur, kemudian anak penyu dilepaskan ke laut.

Beliau berkata, jumlah pendaratan penyu tertinggi dalam dicatat pada 2016, iaitu 592 dengan menghasilkan 53,112 telur dan sebanyak 31,652 berjaya ditetaskan mengikut jadual.

Katanya, jumlah pendaratan penyu setiap tahun di PKPP Cherating tidak menentu disebabkan beberapa faktor seperti keadaan laut, ancaman daripada nelayan dan faktor semula jadi.

“Aktiviti pelepasan anak penyu oleh pelancong dan murid sekolah lebih banyak dapat diadakan sekiranya jumlah penyu jenis agar yang mendarat di PKPP bertambah dan menghasilkan banyak telur setiap tahun.

“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program kesedaran kepentingan penyu sebagai spesies terancam diperluaskan di PKPP Cherating, dekat sini kelmarin.

Program berkenaan disertai 51 penuntut Sarjana Muda Sains Kepujian Pengurusan Biodiversiti bersama dua pensyarah Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka, Maran. Sempena program itu sebanyak 1,000 anak penyu jenis agar dilepaskan.

Abdullah berkata, dalam tempoh empat bulan tahun ini lebih 14,500 pelancong tempatan berkunjung ke PKPP Cherating manakala tahun lalu, mencatatkan kedatangan kira-kira 23,000 pelancong.

“PKPP Cherating berpotensi kembali popular kerana sebelum ini kehadiran pelancong mencecah sehingga 90,000,” katanya.

– BERITA HARIAN