Muharram merupakan bulan pertama dalam kalendar Islam yang disusun pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Bulan Muharram berasal daripada perkataan ‘haram’ yang bermakna bulan yang diharamkan melakukan peperangan.
Bulan Islam merupakan bulan yang dikira secara lunar / peredaran bulan yang mana ia berbeza dengan kalendar gregori/masihi yang menggunakan peredaran matahari sebagai ukuran.
Tahun Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah menjadi penanda aras bagi permulaan kalendar Hijrah. Meskipun proses penghijrahan Nabi Muhammad SAW tidak bermula dengan bulan Muharram atau lebih tepatnya ia bermula pada 26 Safar, namun bulan Muharram dipilih oleh Umar Al-Khattab sebagai bulan pertama kalendar Islam kerana selepas bermusyarakat dengan para sahabat yang lainnya.
Kata para Ulama Bulan Muharram juga turut dikenali dengan “Syahrullah Al-Asham” yang bererti bulan Allah yang sunyi kerana tiada sedikit pun konflik yang berlaku sepanjang bulan Muharram. Apabila diangkat sebagai bulan Allah, tentunya bulan ini bulan yang penuh kemuliaan.
Salah satu daripada bulan haram
Bulan muharram juga merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Apakah itu bulan-bulan haram?
Bulan ini dinamakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Selain itu, bagi setiap kebaikan yang dibuat, pahala kebaikan juga akan digandakan berbanding bulan-bulan lain.
Fiman Allah SWT dalam Surah At-Taubah:
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut. [Surah al-Taubah 9:36]
Amalan-amalan sunat di bulan Muharram
Dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita tentang kelebihan berpuasa di bulan Muharram. Sabda Rasulullah SAW:
أفضَلُ الصِّيامِ بعد رمضانَ شَهرُ اللهِ المُحَرَّمُ
Maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas daripada puasa di bulan Ramadan adalah puasa di bulan Muharram” (HR Muslim)
Selain dari hari-hari biasa yang digalakkan untuk berpuasa dalam bulan Muharram, Allah menetapkan bahawa Hari Asyura merupakan hari yang disunatkan untuk berpuasa. Maksud Asyura ialah hari yang kesepuluh. Berdasarkan hadis daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
Berdasarkan hadis di atas, dapat kita fahami bahawa berpuasa pada hari Asyura dapat menghapuskan dosa-dosa sebelumnya justeru peluang berpuasa ini perlu kita rebut ganjaran yang tidak sering datang ini.
Bagi umat Islam yang berhajat ingin berpuasa Hari Asyura ini, kita digalakkan untuk berpuasa sehari sebelum atau sehari selepas 10 Muharram. Perintah ini bertujuan untuk menyelisihi puasa para yahudi yang berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal sahaja. Perintah ini dinyatakan dalam sebuah riwayat daripada Ibn Abbas Radiallahu Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Demikian juga ketika Nabi memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:
فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan. (HR Muslim)
Menurut laman Mufti Wilayah, sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
- Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
- Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
- Berpuasa sehari dan selepasnya
Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:
- Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
- Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
- Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
Rujukan:
- Youtube- Memahami Kelebihan Dan Sejarah Awal Muharam | Ustaz Badli Shah Alauddin
- Bayan Linnas Siri Ke-39: 10 Muharram: Kelebihan & Faktanya
- Irsyad Al-Fatwa Ke-135: Adakah Puasa 10 Muharram Perlu Disertai Dengan Hari Selepasnya?