Thailand, Kemboja Sedia Berunding Gencatan Senjata – Trump

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

WASHINGTON – Pemimpin Kemboja dan Thailand bersetuju untuk segera berjumpa bagi mencapai gencatan senjata selepas beberapa hari pertempuran di sepanjang sempadan mereka.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di platform Truth Social.

Trump berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk segera bertemu dan melakukan rundingan gencatan senjata serta akhirnya mencapai keamanan.

Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai mengesahkan perkara tersebut namun menegaskan Bangkok mahu melihat keikhlasan pihak Kemboja dalam melaksanakannya.

Sejak pertempuran tercetus pada 24 Julai, sekurang-kurangnya 33 anggota tentera dan orang awam dilaporkan terkorban, manakala ribuan penduduk dari kedua-dua negara terpaksa dipindahkan.

Trump turut menyatakan hasrat untuk menyambung rundingan perdagangan dengan Thailand dan Kemboja, namun perbincangan itu hanya boleh diteruskan selepas pertempuran berhenti.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyuarakan kesediaan Malaysia untuk menjadi pemudah cara dalam rundingan damai membabitkan kedua-dua negara.

Pertikaian sempadan itu sudah berlarutan lebih satu abad sejak penetapan sempadan ketika penjajahan Perancis di Kemboja.

Konflik terbaharu tercetus apabila Thailand mendakwa tentera Kemboja menggunakan dron untuk meninjau kawasan sempadan.

Manakala Kemboja menuduh tentera Thailand melanggar perjanjian terdahulu dengan mara ke sebuah kuil Khmer-Hindu bersejarah. – Agensi