600 anggota polis kawal himpunan RXZ Member 7.0

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Seramai 600 anggota serta pegawai polis akan digerakkan bagi memastikan program RXZ Member 7.0 yang dijangka menghimpunkan lebih 100,000 penunggang motosikal di Terengganu berlangsung dalam keadaan terkawal.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kawalan keselamatan itu melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Menurutnya, semua anggota bersama 65 pegawai akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan peserta dan orang awam terjamin.

Mohd Khairi (dua, kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman (dua, kiri) dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor (kanan) ketika sidang akhbar mengenai himpunan RXZ Members 7.0 di IPK Terengganu pada Ahad.

“Anggota ini akan ditempatkan di lokasi-lokasi terpilih bagi mengawal aliran trafik serta mengelakkan insiden yang tidak diingini.

“Pihak polis akan memastikan program ini berjalan lancar tanpa menjejaskan keselamatan awam,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, pada Ahad.

Mohd Khairi berkata, pada program RXZ Member 6.0 yang diadakan pada September tahun lalu, sebanyak sembilan kemalangan direkodkan di daerah Marang, Dungun dan Kemaman termasuk tiga kes maut.

Selain itu, sebanyak 89 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 15 motosikal – terdiri daripada RXZ dan Yamaha Y15  turut disita kerana melakukan ubah suai tidak mematuhi undang-undang.

“Sepanjang penganjuran tahun lalu juga, tiada kes kecurian motosikal direkodkan di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Namun, bagi jenayah komersial, terdapat tiga kes penipuan rumah inap dengan kerugian sebanyak RM800 di tiga daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut dan Marang,” katanya.

Bottom of Form

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peserta memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, memiliki lesen memandu sah, mematuhi undang-undang jalan raya serta berhati-hati daripada terjebak dengan penipuan penginapan palsu.

“Pihak polis melalui Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) akan membuat rondaan di kawasan penginapan serta rumah inap bagi memastikan keselamatan peserta dan orang awam,” katanya.

Beliau turut menegaskan supaya setiap peserta mematuhi peraturan ditetapkan, tidak membuat bising di kawasan awam atau kediaman serta tidak membawa barangan terlarang.

“Paling penting, jangan mengganggu ketenteraman awam.

“Bagi yang beragama Islam, jangan abaikan solat walau di mana berada,” tegasnya.

Program RXZ Member 7.0 dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.

Sumber : SINAR HARIAN