
KOTA BHARU – Polis Kelantan telah mengenal pasti dua individu yang didakwa menganiaya penyanyi wanita terkenal Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, sehingga menyebabkan beliau dan lima individu lain ditahan di Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an berasal dari Kota Bharu dan usaha menjejak mereka sedang giat dilakukan.
“Kami sudah beberapa kali ke rumah lelaki dan wanita terbabit namun mereka tiada.
“Bagaimanapun hanya tunggu masa kerana mereka sudah berada dalam radar kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pihak polis sedang memburu seorang lelaki dan wanita yang dipercayai menjadi punca kepada penahanan Eda Ezrin, suaminya dan empat rakan lain di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand selama sembilan bulan.
Sumber : SINAR HARIAN





