
BANDAR GAZA: Rakyat Palestin hanya berupaya membawa bekas plastik serta periuk kosong dengan harapan agar mendapat bantuan makanan di dapur kebajikan di Bandar Gaza, semalam, sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan kebuluran berlaku di wilayah itu.
Rakaman imej AFP sekitar bandar terbesar di Gaza itu – di mana Israel merancang untuk merampasnya sebagai sebahagian daripada peluasan serangan ketenteraan rejim Zionis – menunjukkan kanak-kanak serta wanita ialah antara yang berada dalam keadaan amat terdesak untuk meneruskan ‘survival’ hidup.
Gambar amat meruntun jiwa itu antara lain memaparkan kanak-kanak lelaki menggunakan tangan untuk mengikis beberapa butir sisa nasi di dalam sebuah bekas memasak, untuk mengalas perut yang sudah terlalu kosong.
Seorang kanak-kanak perempuan pula dilihat duduk di tepi sebuah khemah dan mencedok makanan dalam sebuah beg plastik di atas tanah.
“Kami tidak lagi mempunyai rumah, tiada makanan dan tanpa pendapatan… kami terpaksa mendapatkan bantuan dari dapur kebajikan tetapi kami terus menderitai kelaparan,” kata Yousef Hamad, 58, yang kehilangan tempat tinggal di bandar utara, Beit Hanoun.
Di sebuah dapur kebajikan di Deir el-Balah pula, Umm Mohammad, 34, menyifatkan pengisytiharan kebuluran di Gaza oleh PBB sebagai ‘sudah terlalu terlambat.’
“Kanak-kanak sedang dicengkam keadaan kesihatan amat merosot, termasuk pening tidak tidak berupaya bangun akibat badan kekurangan makanan dan air,” katanya.
Pada Jumaat lalu, PBB mengisytiharkan secara rasmi kebuluran berlaku di Gaza, dengan meletakkan kesalahan pada ‘sekatan sistematik’ dilakukan Israel terhadap bantuan ke wilayah itu sepanjang tempoh lebih 22 bulan perang berlarutan sejak Oktober 2023.
Sumber : BERITA HARIAN





