
KUANTAN – Semua masjid dan surau di negeri Pahang diminta menganjurkan solat hajat pada hari Khamis bagi mendoakan keselamatan dan kejayaan Misi Kemanusiaan Global Flotilla (GSF) ke Gaza.
Mufti Negeri Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, solat hajat itu akan dilaksanakan secara serentak selepas solat Maghrib.
Menurutnya, pelaksanaan solat hajat itu juga sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar seluruh masjid dan surau di negeri ini menganjurkan solat hajat untuk mendoakan keselamatan serta kejayaan misi berkenaan.
“Semoga kita bersama-sama mendoakan dalam majlis tersebut akan kelancaran, kesejahteraan dan agar dipermudahkan segala urusan Misi GSF ke Gaza,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan keselamatan dan kejayaan misi kemanusiaan tersebut.
Menerusi hantaran berserta poster yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Kesultanan Pahang, baginda berdua mendoakan agar Misi Kemanusiaan GSF ke Gaza beroleh kejayaan yang diharapkan.
Sebanyak 24 kapal telah berlepas dari Pelabuhan Barcelona ke Gaza pada 1 September lalu dengan penyertaan lebih 1,000 peserta antarabangsa dari 44 negara, termasuk 15 wakil Malaysia.
Difahamkan, fasa seterusnya akan menyaksikan kumpulan kedua yang terdiri daripada 15 delegasi Malaysia berlepas dari pelabuhan di Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 September, serentak dengan kumpulan ketiga Malaysia yang kini berada di Tunisia.
Sumber : SINAR HARIAN





