
KAJANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas diserang dan digigit seekor anjing ketika bermain basikal di jalan berhampiran rumahnya di sebuah taman perumahan di Batu 9, Cheras, di sini pada Rabu.
Rakaman berdurasi 11 saat yang kini tular di media sosial memaparkan kanak-kanak terbabit bergelut dengan anjing itu beberapa ketika sebelum berjaya melarikan diri.
Turut tular beberapa gambar yang menunjukkan keadaan mangsa berlumuran darah dengan kesan kulit terkoyak di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang juruteknik yang juga abang mangsa, berusia 20 tahun, pada jam 11.41 malam.
“Ketika kejadian, mangsa sedang bermain basikal sebelum seekor anjing tiba-tiba menyerang dan menggigitnya.
“Tindakan pantas beberapa orang jiran yang datang membantu berjaya menghalau anjing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Naazron berkata, mangsa cederaan di bahagian kepala dan telah dihantar ke hospital sejurus selepas kejadian. Kini, mangsa ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang serta berada dalam keadaan stabil.
“Berikutan kejadian tersebut, pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menangkap anjing tersebut bagi tindakan selanjutnya.
“Status haiwan tersebut masih dalam siasatan sama ada ia haiwan peliharaan berdaftar atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953.
“Orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222, atau mana-mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817,” ujarnya.
Sumber : SINAR HARIAN





