
KOTA BHARU – Dakwah Digital Network Sdn Bhd (BeDaie) dengan kerjasama pihak Penjara Pengkalan Chepa bakal melatih banduan untuk menjadi guru agama apabila dibebaskan kelak, sekali gus dapat berkhidmat untuk masyarakat.
Pengasas BeDaie, Amar Mirza Abdul Kadir Jailani berkata, melalui inisiatif itu tahanan akan mendalami ilmu agama, membina jati diri dan mempersiapkan diri mereka untuk kembali ke masyarakat dengan lebih berdaya saing.
“Kami berhasrat untuk melatih banduan yang berkelayakan supaya selepas dibebaskan kelak, mereka dapat berkhidmat sebagai tenaga pengajar agama di bawah BeDaie.
“Ini bukan sahaja memberi peluang kedua kepada mereka, malah dapat membantu kami memenuhi keperluan lebih 120,000 pelajar di seluruh negara.
“Kami bersedia menyediakan latihan komprehensif serta peluang kerjaya kepada bekas banduan yang berkelayakan, termasuk pakej gaji yang berdaya saing,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurutnya, sebagai permulaan kepada usaha ini, BeDaie telah menyumbangkan sebanyak 500 naskhah buku agama kepada pihak penjara.
BeDaie dengan kerjasama pihak Penjara Pengkalan Chepa bakal melatih banduan untuk menjadi guru agama apabila dibebaskan kelak sekali gus dapat berkhidmat untuk masyarakat.
Ujarnya, sumbangan ini bertujuan memperluaskan akses penghuni kepada bahan bacaan bermanfaat yang boleh dijadikan panduan dalam proses pembelajaran dan pembentukan sahsiah sepanjang mereka menjalani tempoh tahanan.
Amar Mirza memberitahu, kuliah agama turut diadakan secara berkala di dalam penjara yang dikendalikan oleh penceramah berpengalaman daripada organisasi tersebut.”Ia memberi peluang kepada penghuni untuk mempelajari asas-asas agama, memperkukuh pemahaman mereka tentang nilai moral dan mendalami ilmu kerohanian yang dapat membantu proses pemulihan diri.
“Kami melihat potensi besar dalam kalangan penghuni yang benar-benar ingin berubah,” katanya.
Tambahnya, langkah ini diharap dapat memberi sinar baharu kepada mereka yang ingin membina semula kehidupan dan dalam masa yang sama menyumbang semula kepada masyarakat.
Bottom of Form
Ujarnya, inisiatif pendidikan agama ini dijangka memberi impak jangka panjang bukan sahaja terhadap pembinaan sahsiah penghuni penjara, tetapi juga membuka peluang integrasi sosial yang lebih baik apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
Sumber : SINAR HARIAN





