
KUALA NERUS – Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan prosedur implan perentak jantung (pacemaker) buat kali pertama pada Isnin.
Unit Komunikasi Korporat HoSZA dalam kenyataan berkata, prosedur yang berlangsung hampir sembilan jam bermula jam 8 pagi hingga 4.45 petang di Invasive Cardiac Laboratory (ICL) hospital berkenaan diketuai Pakar Perunding Kardiologi (Pakar Pelawat) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Ahmad Wazi Ramli.
“Pacemaker merupakan alat kecil yang ditanam di bawah kulit dada bagi mengawal serta menormalkan degupan jantung tidak teratur dengan menghantar impuls elektrik melalui wayar elektrod supaya jantung berdegup pada kadar yang betul.
“Prosedur itu turut dibantu oleh pasukan HoSZA terdiri daripada 17 petugas termasuk pakar perubatan, jururawat, juruteknologi X-ray serta penolong pegawai perubatan,” jelas kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan tersebut, kejayaan itu diyakini memberi manfaat besar kepada lebih ramai pesakit jantung di Terengganu pada masa depan, selain membuka ruang kepada perkembangan rawatan kardiologi lebih menyeluruh di HoSZA.
“Kejayaan ini membuktikan keupayaan pasukan kardiologi HoSZA dalam melaksanakan prosedur berteknologi tinggi sekali gus menjadi mercu tanda baharu perkhidmatan kardiologi di negeri ini.
“Dengan adanya kepakaran ini, pesakit di Pantai Timur tidak lagi perlu bergantung kepada hospital luar negeri untuk mendapatkan rawatan implan perentak jantung,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN





