14 Minit Cukup Bermakna Buat Richard Chin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Aksi 14 minit termasuk masa kecederaan di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin lalu boleh dianggap detik bermakna buat pemain warisan negara, Richard Chin apabila membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya.

Chin masuk menggantikan Quentin Cheng pada minit ke-80 ketika aksi persahabatan menentang Palestin selepas dia dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan buat kali pertama bermula 1 September lalu.

Meskipun dimasukkan ketika perlawanan sedang menuju ke penghujung, namun pemain kelab Scotland, Raith Rovers itu tampak tidak kekok untuk beraksi buat kali pertama bersama pemain Harimau Malaya yang lain.

Pemain pertahanan muda berusia 23 tahun itu turut berada dalam skuad ketika berdepan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu, namun dia tidak diturunkan dalam perlawanan itu.

Justeru, Chin jelas teruja apabila diberi peluang beraksi ketika berdepan Palestin dan menerusi catatan di Instagram, dia berharap akan dapat menyumbang lebih banyak lagi kepada skuad negara.

“Satu penghormatan dapat menyarung jersi ini. Semoga ini yang pertama daripada lebih banyak lagi,” tulis Chin bersama gambar aksinya menyarung jersi Harimau Malaya ketika menentang Palestin.

Selain menyertai skuad negara buat kali pertama, Chin menarik perhatian peminat bola sepak tanah air apabila dia menyertai pasukan kebangsaan menghadiri program solat Maghrib dan solat hajat bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta pasukan Palestin di Masjid Sultan Abu Bakar, Ahad lalu.

Dalam temu bual bersama sebuah stesen televisyen swasta, Chin mengakui bahawa dia memeluk Islam pada November tahun lalu.

Sumber : SINAR HARIAN