Qatar Sediakan Pelan Tindak Balas Kolektif Serantau Hadapi Serangan Israel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ISTANBUL: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, berkata satu tindak balas kolektif serantau sedang disediakan untuk menghadapi serangan Israel ke atas Doha, sambil menegaskan bahawa perundingan sedang dijalankan bersama rakan Arab dan Islam.

“Akan ada tindak balas dari rantau ini. Tindak balas ini kini sedang dalam perbincangan dengan rakan-rakan serantau yang lain,” kata Al Thani kepada CNN

yang dipetik Anadolu Ajansi (AA).

“Kami berharap tindak balas ini bermakna dan mampu menghalang Israel daripada terus membuli.”

Al Thani turut mengesahkan Doha akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Arab-Islam dalam masa terdekat, bagi menentukan langkah yang akan diambil terhadap serangan Israel, yang telah menyasarkan pemimpin kanan Hamas yang sedang bermesyuarat bagi membincangkan cadangan gencatan senjata oleh Amerika Syarikat (AS).

Beliau menyuarakan kemarahan yang mendalam terhadap serangan itu: “Saya tiada kata-kata untuk menggambarkan betapa marahnya kami terhadap tindakan ini. Ini adalah keganasan negara. Kami telah dikhianati.”

Beliau juga menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai pihak yang menghancurkan harapan terhadap usaha pembebasan tebusan di Gaza dan menggagalkan rundingan gencatan senjata.

“Saya telah bertemu salah satu keluarga tebusan pada pagi hari serangan itu. Mereka bergantung penuh pada usaha mediasi ini. Mereka tiada harapan lain,” kata Al Thani.

“Saya telah berfikir semula tentang keseluruhan proses ini sepanjang beberapa minggu lalu. Netanyahu hanya membuang masa kami. Dia telah membunuh segala harapan untuk tebusan. Dia perlu dibawa ke muka pengadilan. Dia melanggar semua undang-undang – setiap undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.

Pemimpin Qatar itu turut berkata, negaranya kini menilai semula peranan dalam sebarang rundingan gencatan senjata di Gaza susulan serangan ke atas ibu negaranya itu.

Apabila ditanya mengenai nasib Khalil al-Hayya – pemimpin Hamas dan ketua perunding yang menjadi sasaran utama serangan – Al Thani berkata: “Sehingga kini…tiada pengumuman rasmi mengenai nasib beliau.”

Hamas pada mulanya menyatakan bahawa lima ahlinya terbunuh, tetapi delegasi perunding tidak berjaya dibunuh oleh Israel.

“Kami sedang cuba mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang masih hilang…terdapat juga rakyat Qatar yang kini berada dalam situasi yang sangat berbahaya,” tambahnya.

Al Thani turut menekankan bahawa tindakan Netanyahu sedang menyeret seluruh Timur Tengah ke arah kekacauan dan bahawa seluruh rantau Teluk kini berada dalam bahaya.

Serangan udara Israel ke atas Doha telah mencetuskan gelombang kecaman antarabangsa kerana ia merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa.

Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 64,600 rakyat Palestin dalam serangan ketenteraan besar-besaran di Gaza.

Kempen ketenteraan ini telah memusnahkan wilayah tersebut dan menjerumuskan penduduknya ke dalam kebuluran.Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang terhadap wilayah Gaza. – BERNAMA-ANADOLU