
BAITULMAQDIS: Tentera Israel mendakwa lebih 250,000 penduduk melarikan diri dari Bandar Gaza sejak operasi ketenteraan dipertingkatkan di kawasan itu.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, berkata lebih suku juta penduduk Bandar Gaza sudah keluar dari bandar terbabit demi keselamatan mereka.
Sebaliknya, pegawai Palestin melaporkan ramai yang gagal berpindah ke selatan akibat kesesakan teruk dan masih terperangkap dalam kesesakan.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, berkata jumlah sebenar penduduk yang berjaya berpindah ke selatan hanya sekitar 68,000 orang.
“Ramai penduduk masih bertahan di tempat asal mereka, dan ramai lagi tidak dapat mencari ruang di selatan selepas berpindah,” katanya.
Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berpindah ke arah selatan dari Bandar Gaza dengan berjalan kaki dan menaiki kenderaan melalui jalan pesisir di Nuseirat, Gaza Tengah. – Foto AFP
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menganggarkan sekitar satu juta rakyat Palestin menetap di dalam dan sekitar pusat bandar terbesar di Gaza itu, yang kini mengalami kebuluran selepas berbulan-bulan krisis kemanusiaan, yang kini semakin meruncing.
PBB dan beberapa negara antarabangsa mendesak Israel menghentikan serangan ke atas bandar itu dan memberi amaran bahawa serangan serta pemindahan besar-besaran boleh memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada.
Tentera Israel juga dilaporkan menjatuhkan risalah di kawasan barat Bandar Gaza semalam dengan menggesa penduduk berpindah ke selatan ketika serangan udara masih berterusan.
Menurut risalah itu, pasukan tentera Israel kini beroperasi dengan kekuatan penuh di kawasan itu dan bertekad untuk melumpuhkan Hamas, amaran sudah diberi.
Sementara itu, Pengarah Kompleks Perubatan Al-Shifa, Dr Mohammad Abu Salmiya, berkata perpindahan dalaman masih berlaku dalam bandar, dengan penduduk bergerak dari timur ke barat, namun hanya segelintir saja yang berjaya ke selatan.
Seorang lelaki kudung bertongkat bersama penduduk Palestin lain yang kehilangan tempat tinggal ketika berpindah ke arah selatan dari Bandar Gaza dengan berjalan kaki dan menaiki kenderaan melalui jalan pesisir di Nuseirat, Gaza Tengah. – Foto AFP
“Mereka yang berjaya tiba di selatan pula berdepan kesukaran kerana kawasan Al-Mawasi sudah penuh sesak dan Deir al-Balah juga tidak mampu menampung lebih ramai,” katanya, sambil menambah ada penduduk yang terpaksa kembali ke Bandar Gaza kerana gagal mendapat tempat perlindungan atau keperluan asas.
Israel kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk menghentikan serangan ke atas Bandar Gaza, namun bertegas untuk menawan kawasan yang didakwa sebagai antara kubu terakhir Hamas.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Israel menyasarkan bangunan-bangunan tinggi di bandar itu dan mendakwa ia digunakan oleh Hamas.
Menurut agensi pertahanan awam Gaza, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh akibat serangan udara Israel sejak subuh Sabtu lalu. – AFP





