Tukang Cuci Mengaku Salah Miliki Pistol, 36 Butir Peluru

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang tukang cuci di sebuah resort mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup di rumahnya di Kampung Paloh, Pintu Geng pada 6 September lalu.

Tertuduh Azhar Anual, 50, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa miliki sepucuk pistol jenis Glock 26 Gen4 Austria dan memiliki 36 butir peluru hidup tanpa lesen atau permit senjata.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Paloh, Pintu Geng pada jam 5 pagi, 6 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat hingga enam kali.

Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 pula memperuntukkan penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober ini sebagai tarikh fakta serta hukuman dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Sumber : SINAR HARIAN