Jakim Anjur Solat Hajat Untuk Sabah Malam Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat di tiga masjid utama bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Sabah susulan tragedi banjir dan tanah runtuh yang melanda negeri itu.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, solat hajat itu akan berlangsung selepas solat fardu Maghrib di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada malam ini.

Beliau berkata, pelaksanaan itu selaras dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar supaya seluruh umat Islam bersama-sama berdoa agar keadaan di Sabah kembali pulih.

“Jakim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat ALLAH SWT dengan penuh pengharapan, semoga segala urusan mangsa bencana dipermudahkan dan rakyat Sabah sentiasa dalam rahmat serta perlindungan-Nya,” katanya dalam kenyataan.

Jakim turut menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap situasi yang dihadapi rakyat Sabah serta berharap bantuan dan sokongan semua pihak dapat meringankan beban mangsa.

Sejak minggu lalu, beberapa daerah di Sabah termasuk Penampang, Tuaran dan Kota Belud dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan, menyebabkan ratusan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Kejadian tanah runtuh turut dilaporkan menjejaskan beberapa laluan utama, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.

Setakat ini, 12 orang dilaporkan maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi di negeri terbabit.

Sumber : SINAR HARIAN