
KUALA LUMPUR – Seramai 24 individu yang disyaki terlibat dengan dua sindiket penipuan dalam talian diberkas menerusi dua serbuan berasingan di ibu kota pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam serbuan pertama, seramai 13 warga asing dan seorang warga tempatan ditahan di dua unit residensi di Jalan Binjai pada jam 4 petang, 18 September lalu.
“Sindiket penipuan itu menyasarkan mangsa dari China. Premis terbabit digunakan sebagai pusat operasi dan kediaman.
“Semakan mendapati suspek berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun, masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada Isnin.
Sulizmie berkata, dalam serbuan itu polis merampas lima komputer riba, 23 telefon bimbit, sebuah modem dan satu kad akses.
“Kesemua suspek direman sehingga 25 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, serbuan kedua dijalankan pada jam 5 petang, 19 September lalu di lima unit kondominium berhampiran KLCC.
“Hasil serbuan, polis menahan 10 warga asing termasuk seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun kerana dipercayai terbabit dalam penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari Jepun.
“Rampasan melibatkan tiga komputer riba, dua monitor, 16 telefon bimbit, dua set modem dan tiga kad akses. Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek turut menggunakan kondominium mewah sebagai pusat operasi sindiket, selain memasuki negara ini dengan pas lawatan sosial.
“Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang ramai khususnya penghuni di mana-mana kediaman dan residensi mewah supaya memaklumkan kepada pihak polis sekiranya melihat kehadiran ramai warga asing mencurigakan di kawasan mereka.
“Selain itu, pemilik kediaman yang diserbu turut akan dipanggil untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber – SINAR HARIAN





