Hakim Danish Hanya Fokus Cari Tempat Ke Moto3

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SEPANG: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengakui tidak mempunyai sebarang ‘Pelan B’ mengenai destinasinya pada musim depan, sebaliknya meletakkan sepenuh fokus untuk beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3.

Jaguh berusia 18 tahun itu berkata, dia menyerahkan sepenuhnya hala tuju kariernya kepada pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, selepas berjaya melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) menamatkan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) di kedudukan tiga terbaik keseluruhan.

Katanya, meskipun mempunyai keinginan peribadi tinggi untuk melangkah ke Moto3, dia akur dan bersedia untuk mengikut apa sahaja keputusan bakal ditetapkan Zulfahmi.

“Saya memang mahu beraksi di Kejuaraan Dunia tahun depan jika diberikan peluang. Tetapi jika tidak dapat (slot Moto3), saya belum ada Pelan B lagi. Buat masa ini saya hanya akan mengikut keputusan Abang Fahmi (Zulfahmi),” katanya ketika ditemui media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Hakim Danish yang menamatkan saingan RBMRC di tempat ketiga keseluruhan tidak lagi boleh berlumba dalam kejuaraan itu pada musim depan berikutan sudah mencapai had maksimum tiga tahun penyertaan.

Mengulas lanjut, anak jati Terengganu itu menegaskan bahawa sekiranya impiannya untuk beraksi di pentas Moto3 menjadi kenyataan, dia tidak akan mensia-siakan peluang itu dan berazam untuk membina karier jangka panjang sehingga ke kelas perdana, MotoGP.

“Kalau saya diberikan peluang untuk pergi ke Moto3, saya mahu kekal lama di Kejuaraan Dunia. Bukan sahaja berhenti di Moto3, tetapi saya mahu ke peringkat lebih tinggi sehingga impian saya ke MotoGP tercapai. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keyakinannya untuk bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik dunia dalam kelas Moto3, Hakim Danish percaya dia sudah bersedia dan memiliki kemampuan berkenaan namun mengakui masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan.

“Saya rasa saya mampu untuk bersaing di dalam Moto3, tetapi saya perlu berlatih dengan lebih banyak lagi. Saya perlu tingkatkan lagi skill saya untuk ke Kejuaraan Dunia,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN