
SHAH ALAM – Tindakan sindiket menyembunyikan syabu dalam tabung ekzos motosikal terbongkar dalam lima siri operasi sekitar Selangor dengan rampasan keseluruhan dadah bernilai RM8.4 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang dijalankan antara 23 hingga 29 September lalu di KLIA, Sabak Bernam, Kajang dan Hulu Langat itu berjaya menumpaskan empat sindiket berasingan.
“Seramai lima lelaki, termasuk dua warga asing berusia 25 hingga 42 tahun telah ditahan.
“Rampasan melibatkan 63.7kilogram ketamin, 27.7kilogram ekstasi, 12.3 kilogram ganja dan 2.5 kilogram syabu yang mampu dibekalkan kepada 350,000 pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Khamis.
Jelasnya, taktik terbaharu sindiket dikesan apabila syabu disorok dalam tabung ekzos motosikal di Pos Malaysia International Hub sebelum cuba dihantar ke luar negara.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu kotak bungkusan berisi syabu seberat 2.5 kilogram yang disorok dalam tabung motosikal, dipercayai bernilai RM80,000.
“Suspek utama, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun, berjaya ditahan di sebuah rumah di Hulu Langat pada malam yang sama,” katanya.
Dalam serbuan berasingan, seorang lelaki berusia 42 tahun yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau diberkas di KLIA2 bersama bagasi berisi 12.3 kilogram ganja bernilai RM432,000.
“Pada hari yang sama, polis menemui 25.6 kilogram ekstasi dalam sebuah kereta di Bagan Sekinchan.
“Seorang penghantar barang berusia 33 tahun, disyaki suspek utama, ditahan tiga hari kemudian di Wangsa Maju dengan rampasan bernilai RM4.3 juta,” katanya.
Ujarnya, operasi berkenaan turut menahan dua lelaki warga asing di Kajang ketika sedang memunggah beg berisi 47 kilogram ketamin dan dua kilogram ekstasi.
“Pemeriksaan lanjut menemui tambahan 16.7 kilogram ketamin dalam sebuah kereta, dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM3.5 juta.
Bottom of Form
“Secara keseluruhannya, nilai rampasan dadah daripada semua kes ini berjumlah RM8.4 juta, manakala nilai sitaan mencecah RM149,540,” katanya.
Shazeli berkata, kesemua suspek direman antara tujuh hingga 14 hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN





