Terengganu Tanggung Subsidi Tarif Air, Libat Implikasi Kewangan RM24 Juta Setahun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu akan menanggung subsidi bil air sebanyak 30 peratus bagi pengguna domestik Band 2 (penggunaan 21-35 meter padu) dan subsidi sebanyak 15 peratus bagi pengguna domestik Band 3 (penggunaan melebihi 35 meter padu) di negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali berkata, kerajaan negeri akan menanggung pemberian subsidi tersebutmelibatkan implikasi kewangan sebanyak RM24 juta setahun berkuat kuasa bagi bil air bulan November ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang semalam, yang mengambil berat akan isu bebanan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna domestik ekoran pelarasan kadar baru tarif air oleh Syarikat Air Terengganu (SATU).

“Dipohon kerjasama dari pihak tuan (SATU) untuk memastikan pengguna domestik bagi kategori Band 2 berjumlah sebanyak 78,807 akaun hanya perlu membayar 70 peratus dari jumlah bil penggunaan Band 2 manakala pengguna domestik kategori Band 3 berjumlah 94,610 akaun hanya perlu membayar 85 peratus dari jumlah bil penggunaan Band 3 mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Zulkifli, diharapkan langkah kerajaan negeri itu akan dapat membantu mengurangkan bebanan para pengguna domestik.

Dalam masa sama langkah itu juga diharapkan mewujudkan situasi menang-menang bagi SATU dalam memastikan komitmen bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan kepada rakyat.

Terdahulu media melaporkan kadar tarif air bagi pengguna domestik di Terengganu dinaikkan sebanyak lapan sen setiap meter padu bagi penggunaan hingga 20 meter padu sebulan bermula 1 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SATU, Abdul Karim Endut berkata, dengan kadar baharu itu, caj penggunaan minimum untuk pengguna domestik berubah kepada RM6.60 sebulan.

Bagaimanapun, kenaikan tarif air itu mendapat bantahan beberapa pihak yang menggesa kerajaan negeri mempertimbangkannya semula mengambil kira beban kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat ketika ini. – MalaysiaGazette