Mekanik Guna SUV Diubah Suai Seludup Dadah RM5.4 Juta Ditahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM – Taktik licik seorang mekanik menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diubah suai di bahagian bonet untuk mengisi beg berisi dadah terbongkar selepas dia ditahan di tepi jalan sekitar kawasan Serdang pada Ahad.

Ruang khas itu memerlukan kad akses untuk dibuka, selain dipercayai diubah suai dengan kos melebihi RM100.

Suspek, seorang lelaki tempatan yang dipercayai beberapa kali terlibat dalam penghantaran dadah di sekitar Selangor dan Johor, diberkas menerusi operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Suspek juga dipercayai menerima upah antara RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap penghantaran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek berusia 39 tahun yang memandu kenderaan jenis Mercedes GLC 250 itu ditahan kira-kira jam 1 pagi.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan 63.7 kilogram syabu dan 20.1 kilogram pil ekstasi yang disembunyikan dalam ruang khas di bonet belakang yang telah diubah suai.

“Ruang berkenaan dipercayai diubah suai bagi memuatkan semua dadah berkenaan yang diisi dalam beberapa beg pakaian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Katanya, siasatan mendapati selain bekerja sebagai mekanik, suspek turut menjalankan perniagaan alat ganti dan baik pulih kenderaan import.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah, manakala ujian saringan awal mendapati dia positif dadah.

“Tindakan pelucuthakan harta turut dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan wang tunai RM500 serta kenderaan terlibat. Keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM5.4 juta,” jelasnya.

Menurutnya, semua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Selangor dan Johor.

“Suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN