
MARAN – Polis Pahang berjaya menumpaskan sindiket ‘Fly By Night’ yang terbabit dalam lapan kes penipuan pembelian alat ganti kereta dan jentera berat di negeri ini, Selangor, Perak dan Sarawak, membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM273,676.70.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang melancarkan operasi khas di Cheras dan Semenyih, Selangor pada 29 September lalu selepas menerima laporan pertama pada 25 September.
Menurutnya, sindiket tersebut aktif sejak tiga bulan lalu dan melakukan penipuan bermula Jun hingga September, dengan menyasarkan premis yang menjual peralatan.
“Tiga kes penipuan dikesan berlaku di negeri ini, iaitu di Maran, Jerantut dan Bentong.
“Dua suspek pertama iaitu seorang lelaki warga Pakistan berusia 34 tahun dan lelaki tempatan berumur 52 tahun telah ditahan, sebelum empat lagi termasuk seorang wanita berusia 41 tahun diberkas dalam operasi susulan di Kajang, Selangor dan Kuching, Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Balora Mastika, Jengka pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai.
Tambahnya, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan memesan barang melalui aplikasi WhatsApp sebelum menghantar slip bayaran palsu (IBG/GIRO) kepada pengusaha kedai alat ganti dan bengkel.
“Mangsa kemudian menyerahkan barang melalui perkhidmatan syarikat penghantaran dan hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang tidak dimasukkan ke dalam akaun.
“Selepas barang diterima, suspek akan menjualnya semula kepada pembeli lain,” katanya lagi.
Menurutnya, dalang utama sindiket dikenali sebagai ‘Lee’ atau ‘Wilson’ yang bertindak sebagai orang tengah masih diburu polis.
ADVERTISEMENT
Susulan tangkapan itu, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil kegiatan sindiket bernilai lebih RM100,000, termasuk komponen jentera berat, minyak enjin pelbagai jenama, bateri kereta, telefon bimbit dan cop getah syarikat palsu.
Jelasnya, beberapa suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Bottom of Form
“Kes disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan baki barang kes serta memburu dalang utama,” ujarnya.
Sumber : SINAR HARIAN





