
KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengesahkan Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah di Tumpat yang dikaitkan dengan isu ‘Abuya’ beroperasi tanpa pendaftaran sah.
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein berkata, semakan mendapati madrasah berkenaan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan bagi tujuan pendaftaran sekolah atau institusi pengajian agama sebagaimana diperuntukkan di bawah subseksyen 96(1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bilangan 4 Tahun 1994.
“MAIK menegaskan bahawa madrasah berkenaan tidak berdaftar dan tidak berada di bawah pengawasan rasmi kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, pihak MAIK telah menyelaras tindakan sewajarnya bersama-sama agensi penguat kuasa berkaitan bagi melaksanakan langkah penguatkuasaan ke atas madrasah berkenaan dalam masa terdekat.
Media sebelum ini melaporkan pada 11 September lalu, Muhammad Aswadi Yah atau dikenali sebagai Abuya berdepan tujuh pertuduhan amang seksual terhadap dua pelajar lelaki serta memiliki gambar lucah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas.
Pada 18 September, dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua lagi pertuduhan amang seksual membabitkan seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun.
Selepas itu, pada 24 September lalu, Abuya didakwa dengan enam lagi pertuduhan amang seksual membabitkan seorang pelajar lelaki sejak Mac hingga Jun lalu di Mahkamah Sesyen di sini.
Sumber : SINAR HARIAN





