
KOH PHA NGAN – Peningkatan mendadak kehadiran pelancong Israel di pulau pelancongan terkenal Koh Pha Ngan mencetuskan kebimbangan dan ketegangan dalam kalangan penduduk tempatan serta pihak berkuasa yang kini meneliti pengaruh ekonomi serta sosial akibat gelombang pelancong berkenaan.
Bagi menangani isu tersebut, Gabenor Wilayah Surat Thani, Teeruth Supawiboonpol mempengerusikan mesyuarat bersama agensi kerajaan bagi membincangkan langkah-langkah menangani ketegangan yang dikatakan semakin meningkat, terutama melibatkan perniagaan milik warga asing dan pelancong jangka panjang.
Beliau menegaskan bahawa tindakan segera dan penyelarasan menyeluruh diperlukan bagi memastikan semua pelawat asing mematuhi undang-undang Thailand serta tidak menjejaskan kesejahteraan komuniti tempatan.
Menurut laporan daripada pengusaha tempatan dan pegawai wilayah, segilintir warga Israel didakwa membeli tanah melalui proksi warga Thai serta membuka perniagaan seperti restoran, vila dan syarikat pelancongan yang menyasarkan pelancong Israel semata-mata. Tindakan ini dilaporkan menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk dan pelawat lain.
Pengerusi Persatuan Hotel dan Pelancongan Koh Pha Ngan, Narumol Maisopha berkata, tingkah laku sesetengah pelancong dan pengusaha asing mula menjejaskan keharmonian komuniti.
“Sebagai wakil sektor swasta, kami akui keadaan ini memberi kesan negatif terhadap imej pelancongan. Kami telah mula memisahkan pihak-pihak yang bertelagah bagi mengekalkan pengalaman pelancongan yang berkualiti,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan wilayah dan pusat mengambil tindakan proaktif sebelum situasi menjadi lebih tegang.
Data Jabatan Imigresen Thailand menunjukkan terdapat 4,030 warga Israel kini berada di wilayah Surat Thani dengan 2,548 daripadanya di Koh Pha Ngan dan 1,279 di Koh Samui. Seramai 987 merupakan penduduk jangka panjang manakala 349 lagi dipercayai terbabit dalam perniagaan tempatan.
Antara perniagaan yang dikendalikan oleh warga Israel termasuk penyewaan vila, kafe, agensi pelancongan serta pusat komuniti dan keagamaan seperti Pusat Chabad di pulau tersebut.
Pihak berkuasa kini menyiasat kemungkinan pemilikan tanah haram, pendaftaran perniagaan tidak sah dan pelanggaran visa. Gabenor Teeruth mengakui siasatan itu akan mengambil masa kerana memerlukan bukti yang kukuh.
“Proses undang-undang perlu dijalankan dengan berhati-hati. Kami mahu memastikan tindakan yang diambil berpaksikan bukti yang jelas,” katanya.
Selain itu, jabatan buruh dan imigresen turut diarahkan menilai semula status visa pelancong jangka panjang bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan Thailand.
Bottom of Form
Fenomena kebanjiran pelancong Israel ini mencerminkan cabaran baharu dalam sektor pelancongan Thailand antara usaha menarik pelancong asing dengan keperluan melindungi keseimbangan sosial dan ekonomi tempatan. – Agensi





