
KOTA BHARU – Keluarga kepada pempengaruh media sosial, Rambo Castello yang kini ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, Yogyakarta sejak 5 Oktober lalu akibat serangan jantung merayu kerajaan supaya membantu membawa pulang individu berkenaan dengan kadar segera.
Ahmad Radzli Che Ngah, 59, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Li yang juga kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli, kini berada di unit rawatan rapi (ICU) dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
Bapa kepada empat anak itu ke Yogyakarta bersama rakan-rakan setugas pada 4 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke hospital keesokan harinya.
Anak ketiga, Hafizul Fazli Ahmad Radzli, 30, berkata, dia dan ibunya, Asiah Abdullah, 55, telah berjumpa dengan pihak Kedutaan Malaysia di sana dan berharap agar bapanya dapat dibawa pulang segera ke Malaysia.
“Kami sudah seminggu di sini dan kos rawatan pula sangat tinggi. Jika dapat bawa pulang ke Malaysia, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan kerana ibu hanya suri rumah,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, pada hari kejadian, sebelum terkena serangan jantung, bapanya muntah dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital oleh rakan-rakan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ujarnya lagi, mereka dimaklumkan bahawa sebelum jatuh sakit, bapanya bersama rakan-rakan baru selesai melakukan aktiviti rekreasi dan sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan.
Hafizul Fazli berkata, selepas melalui beberapa prosedur, pihak hospital meminta izin untuk melakukan rawatan intubasi (menidurkan pesakit) terhadap bapanya.
“Kami memohon orang ramai agar mendoakan keadaan bapa supaya pulih seperti biasa dan dapat pulang ke Malaysia secepat mungkin,” katanya yang tinggal di Kampung Wakaf Zing, Jeli.
Rambo Castello merupakan pempengaruh media sosial terkenal dengan kandungan berbentuk nasihat mengenai kehidupan masyarakat luar bandar serta perkongsian tip bercucuk tanam.
Beliau mempunyai lebih 168,000 pengikut di Facebook dan lebih 330,000 pengikut di TikTok.
Sumber : SINAR HARIAN





