Helikopter Terhempas Dekat Hotel Mewah, Lima Cedera Termasuk Kanak-Kanak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SACRAMENTO: Lima individu dikejarkan ke hospital selepas sebuah helikopter terhempas berhampiran Pacific Coast Highway di Huntington Beach, California, pada petang Sabtu.

Menurut pihak berkuasa tempatan, helikopter tersebut terhempas sekitar jam 2 petang waktu tempatan, berhampiran Hotel Hyatt Regency dan kawasan pantai yang sibuk dengan pengunjung.

Ketika kejadian, helikopter itu sedang terbang rendah di ruang udara berdekatan lokasi acara tahunan Cars ’N Copters on the Coast yang dijadual berlangsung pada Ahad.

Jabatan Bomba Huntington Beach memaklumkan dua individu di dalam helikopter berjaya dikeluarkan dari bangkai pesawat, manakala tiga lagi mangsa merupakan orang awam yang berada di kawasan sekitar.

Kesemua mangsa dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. Seorang kanak-kanak turut dilaporkan antara yang cedera, namun tahap kecederaan masih belum didedahkan.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan helikopter berpusing secara tidak terkawal sebelum terhempas ke dalam deretan pokok palma dan tangga jejantas pejalan kaki yang menghubungkan ke hotel berdekatan.

Pihak berkuasa telah menutup sementara laluan trafik di sekitar lokasi kejadian dan memulakan siasatan menyeluruh dengan kerjasama Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Setakat ini, identiti juruterbang dan pemilik helikopter masih belum didedahkan.

Sumber : AWANI