
KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang berjaya mengesan dan mengambil tindakan terhadap dua individu yang memujuk serta mendesak penumpang di kawasan Genting Highlands dalam satu operasi khas pada Sabtu lalu.
Operasi yang bermula jam 3 petang hingga tengah malam itu melibatkan seramai 45 anggota JPJ dari seluruh negeri Pahang.
Menurut kenyataan Unit Korporat JPJ Pahang, operasi tersebut memberi tumpuan kepada pemantauan serta penguatkuasaan terhadap individu yang menjalankan aktiviti memujuk atau mendesak penumpang secara tidak sah.
“Lima kenderaan telah diperiksa bersama pemandu dan hasil pemeriksaan mendapati dua kes melibatkan aktiviti memujuk dan mendesak penumpang (touting).
“Tiga kes lagi membabitkan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan telah dilaksanakan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) bagi tiga kes dan dua kes di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD).
Kesemua kenderaan tersebut telah ditahan di Stesen Penguat Kuasa JPJ Karak.
Selain itu, lima notis saman turut dikeluarkan iaitu tiga notis di bawah Notis JPJ (P)22 APJ dan dua notis di bawah Seksyen 205 APAD.
Sehubungan itu, JPJ Pahang memaklumkan bahawa operasi seumpama ini akan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelancong serta mengekang kegiatan tidak sah yang boleh menjejaskan imej industri pelancongan negara.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat aduan segera sekiranya berdepan dengan pemandu yang menjalankan aktiviti ‘touting’ atau menyalahgunakan LKM,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN





