
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh langkah ke arah pembangunan bandar pintar dengan penganjuran Program Terengganu Smart City Activation Day 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program tersebut memberi gambaran yang jelas mengenai prestasi dan hala tuju Smart Terengganu 2040 agar terus relevan dan manfaat kepada rakyat.
“Kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kuala Terengganu berjaya menyelesaikan pelan tindakan strategik bandar pintar masing-masing” ujarnya
“Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terengganu untuk bukan sahaja mendapat manfaat dari pembentangan dan pameran tetapi mendapat penerangan lebih lanjut lagi tentang bagaimana untuk kita mengadaptasikan semua program-program smart city bersesuaian dengan keperluan di tempat masing-masing.”
Beliau juga menekankan bahawa, pelaksanaan ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi canggih, tetapi bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memberikan manfaat kepada rakyat ” kata beliau selepas majlis penutup perasmian Program Terengganu Smart City Activation Day 2025 yang berlangsung di Duyong Marina Resort semalam.
Program yang berjaya mendapat penyertaan lebih daripada 600 orang itu juga telah menarik lebih daripada 31 pameran yang turut mempamerkan hasil produk yang telah dicipta.
Menerusi program ini, beberapa agensi telah dinobatkan sebagai pembentang terbaik mengikut kategori yang dipertandingkan.
Pembentang terbaik kategori Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Terengganu dimenangi oleh Majlis Perbandaran Kemaman.Seterusnya, bagi Agensi Kerajaan Negeri Terengganu dimenangi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu manakala kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) luar, dimenangi oleh Majlis Bandaraya Putrajaya (MBPJ) dan akhir sekali bagi kategori Pavement-AI, dimenangi oleh Urban Explorer Sdn Bhd.





