Sekatan Israel Halang Graduan Palestin Terima Skrol Phd Pada Konvokesyen UMT

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Nerus: Hasrat seorang graduan dari Palestin untuk menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-23 pada 26 Oktober ini tidak kesampaian apabila dikenakan sekatan oleh rejim Israel.

Moath Abdi Kareem Abu Al-Rob, 41, yang menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan telah pulang ke tanah airnya di Qabatia, utara Tebing Barat pada Januari lalu untuk bersama keluarga tersayang.

Beliau bagaimanapun terpaksa melupakan hasrat dan impiannya untuk menghadiri majlis konvokesyen bersama rakan-rakan disebabkan situasi perang yang tidak mengizinkan.

“Majlis konvokesyen ini amat bermakna bagi saya. Walaupun saya tidak dapat hadir secara fizikal, saya tetap meraikan detik membanggakan ini dari tanah air saya, dikelilingi oleh keluarga tercinta.

“Saya amat berterima kasih kepada komuniti UMT dan rakyat Malaysia atas kebaikan serta sokongan yang tidak pernah putus.

“Saya sentiasa berasa dihargai dan diterima dengan mesra sepanjang berada di negara yang indah ini,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan oleh Unit Komunikasi Korporat UMT hari ini.

Mengulas lanjut, Moth Abdi Kareem berkata antara perkara paling bermakna sepanjang perjalanan PhD ialah bimbingan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada penyelia iaitu Profesor Madya Dr Mohd Nazli Mohd Nor yang membantu beliau, bukan sahaja dari segi profesional, malah turut memberi kekuatan dalam aspek peribadi.

“Saya amat bersyukur atas dorongan dan sokongan yang saya terima daripada keluarga, rakan-rakan dan penyelia saya sepanjang tempoh yang sukar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Moth Abdi Kareem berkata sepanjang tempoh pengajian, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh demi mendapatkan masa depan yang lebih cerah.

Beliau berkata antara cabaran yang paling besar ialah sekatan perjalanan dan penutupan sempadan secara tiba-tiba yang terpaksa ditempuhi pelajar Palestin di luar negara.

“Saya pernah hampir terlepas penerbangan untuk menghadiri sesi viva (peperiksaan lisan) terakhir di UMT apabila sempadan Palestin dan Jordan ditutup secara tiba-tiba oleh tentera Israel.

“Untuk itu, saya terpaksa menunggu keesokan harinya. Syukurlah dengan izin Allah SWT… saya berjaya tiba selepas percubaan kedua,” katanya.

Meskipun Palestin sentiasa berada dalam situasi perang, beliau tetap tekad menimba ilmu demi mengangkat martabat masyarakat dan melindungi masa depan rakyat, sekali gus menyumbang kepada profesion audit di negara sendiri.

Sumber : HARIAN METRO