Dua Lelaki Dicekup Bersama 759kg Daun Ketum

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JELI – Dua lelaki dicekup bersama 759 kilogram (kg) daun ketum selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dinaiki mereka ditahan polis di Kampung Kulim, di sini pada Sabtu.

Tangkapan jam 11 pagi itu dilakukan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli apabila terserempak dengan kenderaan dinaiki dua suspek terbabit dalam keadaan mencurigakan ketika melalui jalan dari arah stesen minyak Petronas Jeli ke Ayer Lanas.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, anggota bertugas telah mengarahkan pemandu kenderaan tersebut berhenti di bahu jalan menggunakan pembesar suara serta membunyikan siren dan lampu beacon MPV untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan menemukan 69 bungkusan plastik hitam mengandungi gugusan daun kehijauan disyaki daun ketum dengan anggaran berat 759 kg,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, selain itu polis turut merampas sebotol cecair berwarna perang disyaki air ketum yang diisi dalam botol minuman 600 mililiter.Ujarnya, semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk satu kes jenayah dan narkotik.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-duanya positif dadah jenis ketamin.

“Mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: Sinar harian