Di China Influencer Wajib Ada ‘Degree’ Untuk Buat Konten

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Berkuat kuasa pada 25 Oktober, undang-undang baharu China terhadap pempengaruh (influencer) telah dikuatkuasakan.

Secara asasnya, undang-undang ini menetapkan bahawa sesiapa yang menghasilkan kandungan berkaitan topik ilmiah yang dianggap sensitif seperti perubatan, undang-undang, pendidikan atau kewangan mesti memiliki kelayakan rasmi dalam bidang tersebut.

Seseorang influencer yang mahu mengulas atau membuat podcast untuk topik topik tersebut perlu ada ijazah. Pempengaruh masih boleh mengulas dan menghasilkan konten topik lain seperti biasa.

Langkah berani oleh Pentadbiran Ruang Siber China (Cyberspace Administration of China, CAC) ini bertujuan memerangi maklumat palsu terutama sekali pada era AI ini.

Sudah berlaku banyak kes, apabila maklumat tidak tepat oleh influencer kepada netizen berkaitan dengan topik sensitif tersebut telah memberikan kemudaratan.

Selain itu terlalu banyak konten yang memesongkan fakta dengan hujah dianggap tidak berasas tentang isu isu berkaitan perubatan, undang undangg, kewangan dan pendidikan.

Di bawah peraturan baharu ini, pempengaruh di China yang ingin bercakap tentang topik terkawal mesti menunjukkan bukti kepakaran mereka, sama ada melalui ijazah, pensijilan, atau kelayakan profesional.

Menurut Marketing 4ecommerce, platform seperti Douyin (TikTok versi China), Bilibili dan Weibo telah mengemaskini polisi mereka dengan meminta pengesahan kelayakan pempengaruh dan memastikan kandungan disertakan dengan rujukan serta penafian yang betul.

Sebagai contoh, pencipta kandungan mesti menyatakan dengan jelas apabila maklumat diambil daripada kajian atau jika sesuatu video mengandungi elemen yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI).

Selain itu kerajaan China dengan tegas mengingatkan bahawa  setiap  pempengaruh itu  bertanggungjawab ke  atas konten yang mereka  hasilkan, jika didapati maklumat di dalam konten itu adalah  tidak tepat.

Seterusnya, CAC turut mengharamkan pengiklanan perkhidmatan dan produk perubatan, termasuk suplemen dan makanan kesihatan, bagi mengekang promosi terselindung yang berselindung di sebalik nama kandungan pendidikan.

China tampil dengan langkah sangat tegas pada waktu dunia sedang berdepan kebimbangan besar terhadap penyebaran maklumat palsu.

Ramai juga kurang setuju dengan undang undang ketat China  ini yang dianggap menyekat kreativiti rakyat yang mahu membuat konten.

Walaupun undang-undang China antara yang paling ketat, ia bukan satu-satunya contoh kerajaan cuba mengawal pempengaruh.

Sebagai contoh, Sepanyol memperkenalkan “Undang-undang Pempengaruh” pada tahun 2024, yang mewajibkan pencipta kandungan berprofil tinggi dengan pendapatan melebihi €300,000 setahun atau lebih daripada sejuta pengikut untuk mendaftar dan mematuhi garis panduan pengiklanan yang ketat.

Platform seperti YouTube dan Instagram juga telah melaksanakan dasar untuk menandakan promosi berbayar dan memerangi maklumat palsu, walaupun penguatkuasaannya sering tidak konsisten.

Malah Google mempunyai versinya sendiri. Kandungan yang tergolong dalam kategori “Your Money or Your Life” (YMYL) — termasuk topik kesihatan, kewangan dan nasihat undang-undang — tertakluk kepada penilaian lebih ketat.

Google menilai kandungan yang dihasilkan berdasarkan rangka kerja EEAT (Experience, Expertise, Authority, and Trustworthiness) yang mengutamakan pencipta dengan kepakaran boleh dipercayai. Ini menunjukkan dunia digital semakin menuntut akauntabiliti daripada mereka yang berpengaruh.

Sumber: Thevocket.com