Salah Catat Gol Ke-250, Slot Tarik Nafas Lega

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LIVERPOOL menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila menundukkan Aston Villa 2-0 di Stadium Anfield, hasil jaringan bersejarah Mohamed Salah yang kini mencetak 250 gol bersama The Reds.

Penyerang Mesir berusia 33 tahun itu tidak mensia-siakan kesilapan penjaga gol lawan, Emiliano Martinez apabila jaringan tersebut bukan sahaja melonjakkan moral pasukan malah meletakkan Salah sebaris dua legenda kelab Ian Rush dan Roger Hunt sebagai tiga penjaring terbanyak sepanjang zaman Liverpool.

Ryan Gravenberch kemudian mengesahkan kemenangan pada minit ke-58 selepas percubaannya dari luar kotak penalti terkena pertahanan Pau Torres sebelum melantun masuk.

Kemenangan itu menghidupkan semula semangat skuad kendalian Arne Slot yang sebelum ini bergelut mencari rentak, sekali gus naik ke tangga ketiga liga walaupun masih tujuh mata di belakang pendahulu Arsenal.

Slot mengakui kemenangan itu amat bermakna kerana hadir ketika kelab Merseyside tersebut berdepan detik sukar.

“Ia sangat bermakna. Gol itu hadir ketika kedudukan masih 0-0, bukan ketika kami mendahului atau selesa di puncak liga. Ia berlaku dalam situasi sukar untuk kelab, pasukan dan diri saya sendiri.

“Apa yang membuatkan Liverpool istimewa ialah penyokongnya. Mereka tidak pernah melupakan jasa dan sentiasa berdiri bersama kami ketika berdepan kesukaran. Walaupun kami gagal menang dalam beberapa perlawanan, penyokong tetap memberi dorongan luar biasa,” katanya.

Kemenangan itu bukan sahaja menghidupkan kembali keyakinan skuad The Reds, malah mengukuhkan nama Salah sebagai antara legenda agung Anfield moden.

Liga Perdana Inggeris

Keputusan

Brighton 3-0 Leeds United

Fulham 3-0 Wolverhampton

Tottenham Hotspur 0-1 Chelsea

Liverpool 2-0 Aston Villa

Sumber : Sinar Harian