
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengemukakan satu subjek baharu dalam Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) di universiti yang memberi penekanan khusus dalam soal pembinaan manusia atau tasawwur Islam.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata ia akan dikemukakan dalam tempoh terdekat untuk ia dapat diterapkan di peringkat universiti.
Beliau berkata, pihaknya melihat aspek pembinaan manusia dan adab itu amat penting khususnya dalam berdepan cabaran masa kini.
“Mata pelajaran umum ini adalah satu pendekatan dan usaha kita untuk membina adab dan karakter. Namun yang kita sedia maklum selama ini ia tidak diurus begitu baik.
“Ini kerana, ia mempunyai pelbagai pendekatan sejak diperkenalkan seawal 1996, kalau tidak silap saya sering kali kita melihat bagaimana subjek berkaitan MPU itu sebagai subjek asas ada dipanggil kursus peradaban dan sebagainya.
“Tapi dari segi pelaksanaan tidak dilihat secara mantap. Maka saya memanggil ada macam ‘dua mazhab’ dalam pelaksanaan itu atau ‘school of thought’, dan dengan siri rundingan kita dapat satukan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar, di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) bangkit mencelah untuk bertanya sama ada KPT mempunyai kurikulum berkaitan pembinaan karakter seperti mana dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) di peringkat sekolah.
Pada masa sama, Zambry berkata, pihaknya melihat proses kesinambungan dalam subjek pembinaan karakter dan adab ini penting dari peringkat sekolah ke universiti.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu melihat supaya dari segi keseluruhan kurikulum yang disediakan dapat dilaksanakan di peringkat sekolah.
“Namun bagaimana kita hendak melakukan proses kesinambungan terhadap pembinaan karakter atau adab itu terangkum dalam keseluruhan perspektif pemahaman akal budi dan sebagainya,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Zambry berkata, setiap universiti digalakkan menubuhkan tabung wakaf masing-masing bagi memastikan kemampanan kewangan mereka.
Katanya, ia penting bagi memastikan universiti tidak bergantung sepenuhnya dalam pemberian dana dari kerajaan.
Sumber : BERITA HARIAN





