
KUALA LUMPUR: Kebimbangan melihat fakta tidak tepat mengenai Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang dikongsi pempengaruh dalam media sosial seperti TikTok dan Instagram (IG), mendorong bekas Pengarang Hiburan (Edisi Mingguan) Berita Harian (BH), Akmal Abdullah menulis buku mengenai tokoh seni terbilang itu bagi membetulkan fakta songsang tersebar.
Akmal, 55, yang menabur bakti dalam dunia kewartawanan hiburan selama lebih tiga dekad, meminati Allahyarham P Ramlee sejak kecil lagi.
Banyak membaca majalah hiburan yang dibeli bapa dan menonton filem Allahyarham P Ramlee, mendorong minat Akmal untuk menyambung pengajian di universiti dalam bidang perfileman.
Namun, Akmal kesal melihat banyak fakta songsang yang dikhuatiri boleh memesong sejarah dan pemahaman masyarakat mengenai Allahyarham P Ramlee.
Sehubungan itu, Akmal nekad memulakan kajian pada Ogos tahun lalu, manakala proses menulis buku berjudul P Ramlee Kisah Tanpa Noktah, dimulakan sejak Januari lalu.
Bakal melancarkan buku itu di Restoran Saloma Kuala Lumpur, Ahad ini, Akmal berkata, proses menerbitkan buku itu bukan mudah kerana kekangan bajet.
Bagaimanapun, Akmal bersyukur projek itu mendapat sokongan dan kerjasama Pejabat Perdana Menteri serta penaja utama, ST Rosyam Mart Sdn Bhd.
“Idea menghasilkan buku ini tercetus, tahun lalu, iaitu ketika ulang tahun ke-90 filem Melayu pertama yang ditayangkan pada 1934.
“Saya anggap ini masa yang tepat untuk berkongsi mengenai sejarah filem Melayu yang secara tidak langsung banyak menemukan saya dengan kisah Allahyarham P Ramlee.
“Faktor utama yang benar-benar menggerakkan hati adalah rasa menyampah dengan media sosial yang memaparkan fakta tidak betul. Paling ketara apabila sebuah platform rujukan popular secara salah menyatakan Allahyarham P Ramlee berkahwin dengan Junaidah pada 1947.
“Itu adalah kesalahan fakta yang besar kerana P Ramlee ‘turun’ ke Singapura pada 1948. Macam mana mereka boleh tulis P Ramlee berkahwin pada 1947? Kesilapan fakta itu dibiarkan bertahun-tahun tanpa pembetulan. Sepatutnya, fakta sejarah membabitkan tokoh besar seperti P Ramlee perlu disampaikan dengan tepat dan sahih. Ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada generasi akan datang,” katanya dalam pertemuan dengan HIP di sini, baru-baru ini.
Akmal berkata, biarpun sebanyak 62 buku mengenai Allahyarham P Ramlee pernah diterbitkan, naskhah yang dihasilkannya, iaitu P Ramlee Kisah Tanpa Noktah, memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri.
Buku itu lebih banyak menyentuh kisah kehidupan peribadi bintang tersohor itu yang tidak banyak dikupas dalam buku lain.
Akmal mengakui, sebagai wartawan hiburan, beliau beruntung kerana berjaya mengorek pelbagai maklumat sahih daripada bintang veteran serta individu yang rapat dengan Allahyarham P Ramlee.
Meskipun ramai sudah kembali ke rahmatullah, Akmal bersyukur sempat mengumpul banyak maklumat dan pengetahuan daripada individu terbabit, termasuk Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang mendedahkan punca perceraian Allahyarham P Ramlee dengan Norizan.
“Kebanyakan buku sebelum ini lebih menekankan mengenai kerjaya P Ramlee. Buku yang saya hasilkan bukan mengenai kejayaannya, sebaliknya, lebih banyak mendedahkan kisah peribadi P Ramlee seperti isu anak bernama Affan yang dikatakan cahaya mata bersama bekas isteri, Allahyarham Junaidah.
“Buku ini turut mengupas lebih mendalam mengenai Junaidah isteri pertama P Ramlee yang sebelum ini tak banyak didedahkan. Buku yang ada sebelum ini hanya mengupas kira-kira tiga hingga empat perenggan mengenai soal itu. Tetapi, dalam buku ini, kisah Junaidah sahaja ada 10 bab,” katanya.
Akmal berkata, maklumat mengenai Junaidah diperoleh daripada sumber yang amat berharga, iaitu adiknya, Junainah yang menetap di Singapura.
“Saya mendapat bantuan daripada seorang pempengaruh terkenal Singapura, Uhti Aminah yang membantu membekalkan maklumat termasuk gambar eksklusif yang tidak ada dalam enjin carian Google,” katanya.
Tidak hanya mengupas isu rumah tangga, buku dihasilkan Akmal mendedahkan mengenai lapan kenderaan yang pernah dimiliki Allahyarham P Ramlee. Malah, Akmal berjaya mengesan nombor pendaftaran semua kenderaan milik Allahyarham P Ramlee yang tidak pernah didedahkan di mana-mana platform. Kajian mengenai jenis kereta dan nombor pendaftaran yang sahih itu sahaja mengambil masa tiga bulan.
Selain itu, buku P Ramlee Kisah Tanpa Noktah turut menyentuh makanan kegemaran Seniman Agung itu dan pendedahan menarik mengenai isteri-isterinya yang lain seperti Norizan dan Puan Sri Saloma.
Akmal turut berani menyentuh isu yang mungkin dianggap mengaibkan seperti insiden Junaidah ditampar P Ramlee, berdasarkan kenyataan arwah Junaidah sendiri yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian Singapura pada 1983.
Pendedahan mengenai sisi peribadi Allahyarham P Ramlee menjadi kelebihan dan kekuatan buku Akmal.
Walaupun kebanyakan buku menyentuh soal mesej, falsafah dan elemen Islam dalam filem P Ramlee, namun, Akmal percaya pendedahan kisah peribadi ini yang lebih menarik minat pembaca.
Akmal berkata, penghasilan buku itu bukanlah untuk mencari keuntungan, sebaliknya, sebagai sumbangan untuk negara, terutama dalam membetulkan fakta yang didakwa songsang mengenai tokoh seni itu.
“Buku ini adalah hasil kajian separa ilmiah yang hampir tepat kerana disokong rujukan pelbagai sumber bagi memastikan kesahihan fakta.
“Saya tulis buku ini bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya, membantu generasi muda yang kurang mengenali Allahyarham P Ramlee secara peribadi untuk mengenali siapa insan di sebalik visual filemnya.
“Dari sudut ilmiah, filem P Ramlee mempunyai kekuatan falsafah dan mesej pengajaran yang berlapis-lapis. Ada sesuatu tersembunyi dalam setiap naskhahnya.
“Allahyarham P Ramlee adalah seorang genius sukar dicapai oleh mana-mana pengkarya lain,” katanya.
Akmal mengakui semakin banyak dikaji, tambah mendalam rasa kekagumannya terhadap Allahyarham P Ramlee.
“Apabila buat kajian dan selidik lebih dalam, rasa kagum jadi berganda. Ada banyak mesej tersembunyi dalam setiap naskhah Allahyarham P Ramlee yang hanya dapat difahami jika kita benar-benar teliti,” katanya,
Akmal turut menekankan sisi spiritual Allahyarham P Ramlee yang jarang diperkatakan, namun, memberi kesan besar terhadap keperibadiannya sebagai seniman.
“Sehingga hari ini, Masjid Sultan di Singapura masih menghadiahkan bacaan al-Fatihah untuk arwah P Ramlee setiap kali selepas solat Jumaat.
“Itu menunjukkan pegangan rohaninya sangat kuat dan menjadi asas dalam pembentukan jiwa sebagai pengkarya seni,” katanya.
Buku P Ramlee Kisah Tanpa Noktah dijual pada harga promosi RM69 memuatkan 851 gambar berwarna.
Beberapa syarikat produksi seperti Skop Production Sdn Bhd, Metrowealth International Group (MIG) dan Sheunik Sdn Bhd turut menaja projek penghasilan buku itu.
Tidak ketinggalan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Yayasan Budi.
Sumber: Berita Harian





